Utama

Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan

Selasa, 23 April 2013

Gurindam Fuadku




Kuusir pergi bayang-bayang silam, 
yang sentiasa meniti di tubir hari, 
setiap dasawarsa yang telah lalu,
 dibiar mekar pada memori.

Aku bukan Fatimah dan kau bukan Ali, 
kau juga tidak setanding Yusuf dan aku bukan Zulaikha
Atas nama kehidupan,
denai itu disusuri dengan langkah perkasa yang membait nama Mu.

Engkau puitis, aku kritis!

Wahai Khaliq,
Kuserah semula anugerah,
lemah dan lalaiku dalam menjaganya 
sehingga kubertatih meraih sedikit suratanMu, 
seindah hasratku.

Gurindam dalam Fuadku.

"Pergilah kasih membawa angin rindu yang jauh dari lubuk hati."


- NFIA -

Sajak: Kebutaan













Yang kukejar, tak ku dapat,
Yang kukecap, tak kunikmat,
Akulah hamba kufur,
Menolak dengan penuh takbur!

Sementelah langit biru kelam,
Kumelihat suasana hitam,
Ada bintang tapi aku sudah buta memandang.

Bisikan
Hidup yang suram,
Masih bersisa cahaya dipandang,
Hanya hati hati yang segar akan sedar,
Hakikat kehidupan bukan dibiar-biar tanpa arah bahagia,
Sayugia,
Aku masih koma,
Untuk bangkit dengan irama,
Yang selalu berkuasa,
Menguasai minda.

NFIA 13/6/12

Jumaat, 5 Oktober 2012

Syair: Bahasa Itu Wajah Bangsa



Bahasa itu tinggi nilainya,
Intan berlian bukan tandingnya,
Perlu dijaga tak harus lupa,
Padanya asal bersatu kita.

Apalah erti negara merdeka,
Jika bahasa terpinggir nyata,
Rojak bahasa dijaja-jaja,
Kononnya bijak semua bahasa.

Pergi sekolah menimba ilmu,
Ibu berpesan agar kau maju,
Negara penjajah menara gadingmu,
Jangan dijajah bahasamu itu.

Duhai bangsa pemilik bahasa,
Lupakah pada Keranda Satu Lima Dua,
Memperjuang bahasa mengalir air mata,
Takut hilang martabat bahasa.

Modenisasi negara Malaysia,
Punyai bangsa nan bijaksana,
Usah diludah usah dihina,
Bahasa itu maruah bangsa.

Era ini langit terbuka,
Semuanya canggih hebat belaka,
Khidmat SMS, Facebook pun ada,
Jangan lupuskan bahasa Ibunda.

Sungguh masyhur bumi Malaysia,
Empat belas negeri bernaung sejahtera,
Biar bangsa bermacam rupa,
Bahasa Malayu kekal bersama.

Satu hati gapai impian,
Pada negara tanah kediaman,
Ayuhlah kita bahasa didaulatkan,
Menjadi wajah bangsa yang aman.