Di perhentian bas Tenom, aku menanti
seorang rakan. Kami berjanji melaksanakan misi pada hari ini. Namun, yang
ditunggu masih tidak muncul. Ruang menungguku dipenuhi peristiwa. Aku gadis
berkereta, yang biasa kunanti ialah si ayah atau si ibu datang menjemput dan
tidak pernah hari-hariku digadai di perhentian bas berseorang tanpa teman. Aku
menanti teman karib dari Tenom.
Beginikah
rupanya hidup si manusia perhentian bas, memanas punggung di kerusi duduk sambil
melihat kereta datang dan pergi, melihat manusia pelbagai usia berkeliaran,
melihat telatah pemandu bas dan penumpang, melihat orang-orang asing berpelesiran
dengan jajaannya, ada juga bertangan kosong cuma sepuntung rokok di celah-celah
jari telunjuk dan jari hantu. Aku melihat dua orang lelaki begitu asyik
bercerita di sebelah kanan. Aku tidak pasti di mana hala tuju mereka.
Mungkinkah ke Tenom. Aku seorang pemerhati bukan seorang wartawan. Ada lagi
kulihat manusia mundar-mandir di sekitar kawasan kota. Ada yang menunggang
motosikal berjaket hijau. Ada yang duduk menjaga sayur dan ikannya. Ada sebuah
bas dari kampung Bunang ke Pekan Keningau tiba di perhentian tanpa penumpang.
Di manakah teman karibku?
Hujan
turun renyai-renyai, aku masih di sini. Masih berfikiran sama. Kulihat lagi
pemandu bas seorang ini yang rela dibasahi hujan demi rezeki hidupnya. Dia
menghidupkan enjin bas. Enjin bas itulah muzikku. Seorang wanita bertudung
datang bercerita dengan seorang teman. Dia melihat aku tetapi aku tidak ambil
peduli lirikan matanya. Aku juga tidak mempedulikan teriakan hujan dan seluarku
sudah basah. Namun apakah yang diinginkan si teman karibku sehingga aku jadi
pemerhati unggul di perhentian bas Tenom.
Ada
lagi rupanya seorang penanti lelaki yang sibuk membaca majalah. Entah apakah
judul majalah itu. Aku kurang jelas melihatnya. Pakaiannya biasa sahaja. Tidak
berjenama dan sedikit lusuh. Aku kagum. Menambah ilmu tidak kira tempat dan tidak
kira siapa si pembaca itu sama ada berpendidikan tinggi atau rendah. Marilah
menjadikan membaca sebagai budaya.
Air
hujan sudah mula bertakung di perhentian bas. Air takungan bercampur bekas
tapak kaki manusia, bekas tayar kenderaan, dedaunan yang jatuh daripada pohon
semuanya sudah bercampur barangkali terselit ludah dan kahak. Kulihat longkang
besar juga ditakungi air mutlak bersama tumbuh-tumbuhan yang suka-suka menumbuh
di sana. Ia tidak seperti manusia yang kena berhati-hati dengan tanah hak milik
orang lain sedang tumbuhan meletakkan hak tumbuh di mana-mana tempat kurniaan
tuhan. Semua tempat milik Allah.
Teman
yang masih belum muncul membuatkan aku terharu melihat seorang lelaki 50-an
yang turun ke longkang demi nyawa seekor anak kucing berwarna hitam. Dia
membawa anak kucing itu ke perteduhan. Sesudah menunjukkan ihsan, dia
menyeberang jalan dan terus hilang di sebalik deretan kedai. Alangkah eloknya
jika aku seihsan lelaki itu tetapi aku tahu aku lebih khuatir stokingku basah
dengan air longkang. Peristiwa tadi aku teladani.
Kudongakkan
sedikit wajah untuk melihat tingkat dua kedai di hadapan. Ada lelaki yang
ulang-alik mengangkut dulang berisi makanan. Dari kedai ‘Honeysweet’ ke
premis sebelah kanan. Teman, engkau melewatkan masa sehingga aku mempunyai
ruang marah di dalam hati melihat si lelaki berbaju hijau membuang plastik
hitam ke dalam longkang. Tong sampah di pondok tidak dia manfaatkan. Bahkan
selepas menghabiskan nasi goreng dalam tapau polistirena, lelaki itu pantas
menghumban tapau polistirena ke dalam longkang sekali lagi. Manusia kurang
tamadun. Aku mengalih pandangan.
Sekumpulan
budak-budak remaja awal membuat bunyi bising. Mereka melimpasiku dan
menyeberang jalan raya menuju ke kedai hadapan. Dahulu, aku tiada pengalaman
seperti mereka. Aku tidak begitu senang dilepaskan keluarga untuk bersosial
dengan rakan. Aku akur dengan tindakan orang tuaku yang penuh hikmah demi
kebajikanku. Tiada apa yang perlu kukesali.
Apakah
perlu di setiap stanza aku menyatakan dirimu teman? Engkau melengahkan masa
untuk menambah pengalamanku. Engkau memberiku rasa seperti mana yang engkau
selalu rasa di perhentian bas ini. Aku melewati setiap detik di perhentian
dengan kesabaran dan keseronokan menyaksikan ragam manusia di kota ini. Engkau
sengaja memberiku inspirasi ketika menantimu. Betapa aku sedar kehidupan ini
ada antagonis dan protagonis. Terima kasih teman karib dari Tenom, aku bahagia
di perhentian bas Tenommu walaupun engkau tidak juga kunjung tiba.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan