Semasa saya masih kecil lagi, ayah selalu belikan saya buku-buku cerita dongeng seperti Puteri Duyung, Puteri
Salji, Cinderella, dan beberapa lagi kisah dongeng. Cerita Melayu pun ayah
belikan seperti kisah Sang Kancil dan Buaya. Tidak ketinggalan cerita nabi dan
rasul. Saya seronok sangat membaca buku cerita yang ayah belikan sehingga saya
suka berimaginasi untuk menjadi seorang puteri raja.
![]() |
| Antara Kisah Dongeng Barat |
Suatu
hari, saya terlalu rindu untuk membaca buku cerita. Saya sudah bosan membaca
buku-buku cerita yang sama. Saya mahukan kelainan. Kalau saya suruh ayah saya
belikan pasti esok lusa atau minggu hadapan baru dia belikan. Saya pun berfikir
untuk mereka cerita sendiri. Cerita budak-budak. Di situlah saya mula menulis.
Cerita saya pendek-pendek. Kalau emak baca pasti tersenyum. Selain menulis,
saya suka berpantun:
“ Rasa sayang eh rasa sayang, sayang eh. Eh lihat nona jauh, rasa
sayang, sayang eh.
Pisang Emas di bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi di bawa mati.
Rasa sayang eh rasa sayang, sayang eh. Eh lihat nona jauh, rasa sayang,
sayang Eh.
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.”
Pantun
itu ayah saya yang ajarkan. Saya sangat suka pantun. Saya suka keindahan
bahasa. Sehinggalah saya bersekolah menengah, saya menghasilkan cerpen tetapi
di asrama sahaja dan pembacanya ialah rakan-rakan saya. Walaupun saya suka
menulis cerita pendek tetapi saya bukanlah seorang yang pandai menulis. Bakat
masih belum terasah lagi yang ada ialah minat! Saya kena berusaha. Saya
memperbanyakkan bacaan buku-buku novel dan majalah. Sedikit sebanyak buku yang
saya baca meresap ke dalam jiwa. Saya meneliti bagaimana para penulis menyusun
bahasanya. Saya cuba meniru gaya bahasa yang ditampilkan oleh penulis cerpen
dari sudut diksi, sintaksis dan tempo.
Itu
serba-sedikit kisah lalu saya. Semenjak saya melanjutkan pengajian untuk
mengambil diploma Pengajian Islam dan Dakwah, saya jarang-jarang menulis. Namun, keinginan untuk menulis-nulis kembali datang sewaktu saya mengikuti bengkel pemantapan karya anjuran Dewan
Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah Oktober 2012. Bengkel ini bertempat di IPG Kampus Keningau.
Di bengkel itu, saya berpeluang menemui penulis Sabah iaitu Jasni Matlani,
penulis antarabangsa S.M Zakir serta seorang lagi penulis bergelar A.R Ramli.
Mereka memberikan motivasi dan tunjuk-ajar untuk mengarang cerpen dan novel.
Baiklah
sekarang saya hendak berkongsi tips untuk mengarang serba-sedikit. Mengarang dikaitkan dengan
unsur intrinsik dan juga ekstrinsik. Apakah itu? Dari sudut intrinsik (dalaman)
sesebuah karya itu perlu ada tema, latar, watak, sudut pandangan, plot, gaya,
dan suasana cerita. Manakala dari sudut ekstrinsik (luaran), seseorang penulis
itu perlu ada ilmu. Ilmu bantu. Misalnya anda hendak membuat satu kisah
mengenai senapang, anda kena pergi ke kedai senapang untuk mengkaji jenis
senapang atau cukup melalui internet sahaja. Tetapi anda kena ingat,
menghasilkan karya tidak sama dengan membentang di bilik kuliah di mana kita
berpura-pura menganggap audiens tidak tahu apa-apa. Seorang penulis tidak boleh
memperbodohkan pembaca. Penulis memerlukan keterampilan juga. Keterampilan yang
bagaimana? Jika penulis ingin menghasilkan sebuah cerita mengenai penyakit seperti
penyakit barah atau wabak, segala istilah-istilah berkaitan ditulis. Barulah
nampak ada usaha mengetahui sesuatu. Selain itu, seorang penulis mesti banyak
bermain dengan psikologi untuk mempengaruhi pembaca. Contohnya, anda hendak
membuat satu cerita tentang zaman kanak-kanak dan semestinya anda mengetahui
psikologi untuk kanak-kanak. Untuk menjadi seorang penulis, kena rajin membaca!
Perenggan
di atas itu adalah serba sedikit tips mengarang. Walau bagaimanapun, sasterawan
negara yang pertama iaitu Keris Mas pernah menyatakan bahawa kita tidak boleh
mengajar orang menjadi sasterawan. Memang benar. Kita tidak boleh mengajar
seseorang untuk menjadi pengarang. Tetapi seseorang itu boleh belajar dan
berusaha untuk lahir sebagai pengarang. Ini saya dapat daripada buku Persediaan
Menulis Cerpen tulisan Othman Puteh. Buku ini sangat bagus dan sesuai
dijadikan panduan bagi insan-insan yang mahu mengarang cerpen mahupun novel.
Saya akan kongsikan serba-sedikit mengenai syarat-syarat menjadi pengarang
melalui buku tulisan Othman Puteh ini.
Pertama, bakat. Bakat merupakan kebolehan semula
jadi seseorang itu. Bakat atau bakat alam ini merupakan anugerah Allah yang
sukar dilihat atau disaksikan dengan mata kasar. Ia perlu dibuktikan oleh
seseorang itu, dengan melakukan sesuatu usaha dengan penuh gigih, yang tidak
mengenal istilah jemu dan yang diamalkan secara berterusan.
Kedua, minat. Minat ialah keinginan atau kecenderungan
seseorang dalam sesuatu bidang yang diceburi. Ramai di kalangan remaja yang
berminat untuk menjadi pengarang, berusaha secara berterusan menulis sajak atau
cerpen atau drama dan menghadiri pelbagai bengkel penulisan akan tetapi hasil
karyanya, tidak juga dipilih atau disiarkan di mana-mana penerbitan – surat khabar
ataupun majalah – mengapa? Jawapannya: Sesungguhnya calon pengarang itu
mempunyai minat akan tetapi ternyata pula dia tidak mempunyai bakat. Justeru itu,
dia tidak lahir sebagai pengarang. Jadi, jelas kepada kita betapa pentingnya
gabungan bakat dan minat untuk membentuk dan melahirkan seorang pengarang.
Ketiga, cita-cita. Sebagai suatu hasrat, ataupun suatu
harapan – tentunya untuk masa hadapan – cita-cita akan dapat mendorong
mempercepat seseorang itu menjadi pengarang. Tanpa cita-cita, bakat dan minat
tidak dapat bercambah dan berkembang dengan wajar.
Keempat, rajin membaca. Rajin membaca bererti setiap calon
pengarang itu harus membaca segala bidang ilmu pengetahuan. Dengan kata lain,
untuk menjadi sasterawan terkenal, bukan sahaja perlu membaca buku-buku
kesusasteraan malah harus juga membaca pelbagai jenis buku dalam bidang
politik, ekonomi, sejarah, geografi, sains, perubatan, psikologi, dan
seumpamanya. Kerajinan membaca harus dimiliki setiap calon pengarang yang sudah
terkenal. Setiap bahan bacaan itu dianggap sebagai ilmu bantu apabila seseorang
pengarang itu hendak menulis sesebuah genre sastera sama ada sajak, cerpen,
novel, mahupun drama. Tegasnya, ia menjadi penting dalam menghasilkan karya.
Kelima, rajin menulis, Ya, seseorang yang mahu menjadi
pengarang mesti rajin menulis. Dia mesti menulis secara berterusan, setiap
hari. Malah calon pengarang itu mesti mempunyai rancangan menulis yang
sistematik dan tidak mencari alasan untuk menyatakan kesibukan atau
ketidakcukupan waktu untuk berkarya. Di sinilah, kita harus belajar daripada
pengalaman pengarang-pengarang lain untuk dapat dijadikan teladan dalam usaha
melahirkan pengarang.
Untuk mencapai matlamatnya dengan berkesan, yang memungkinkan lahirnya
pengarang, maka kesemua syarat tersebut memerlukan latihan yang bersungguh-sungguh,
disiplin kerja yang terancang, dan minat yang tidak mengenal jemu dan
berterusan. Sesungguhnya minat dan cita-cita itu dapat dianggap sebagai bibit
cinta. Ia akan terus mengalir dalam diri kita. Justeru kerana itu, ia haruslah
dipupuk dan dibenarkan bercambah berdasarkan pada keyakinan atau kepercayaan
diri. Apatah lagi, kerja mengarang itu bukanlah suatu kerja atau tugas
sembarangan, tugas sambil lewa atau tugas sampingan. Sebaliknya, kita harus
mempunyai keyakinan diri betapa dengan mengarang kita sebenarnya
melakukan sesuatu yang kita minati, sesuatu yang kita cita-citakan, sesuatu
yang kita cintai. Oleh itu, kita percaya ada sesuatu yang baik, yang murni yang
bakal kita lakukan dan peroleh daripadanya.
Begitulah
serba-sedikit syarat-syarat untuk menjadi seorang pengarang atau penulis
seperti yang ditulis dalam buku tulisan penerima S.E.A Write Awards 1998,
Othman Puteh. Semoga bermanfaat untuk kita semua yang berhasrat atau
bercita-cita untuk menjadi seorang penulis. Mulalah dari sekarang menulis. Kalau
ada bakat dan ada minat, silakanlah menulis. Menulis banyak manfaatnya. Kita tidak
akan rugi. Di samping menulis, kita juga sebenarnya sedang mengkaji. Banyaklah ilmu
yang kita dapat. Kita boleh jadi peguam, doktor, cikgu, jurutera, pelancong
dengan menulis. Percaya atau tidak, mari menulis!



Tiada ulasan:
Catat Ulasan