Utama

Khamis, 9 Mei 2013

Malam Berkuasa


PROLOG

Amania sebuah negara yang sangat masyhur, aman dan makmur. Rakyatnya hidup bersatu padu. Amania diperintah oleh raja Aziz yang sangat ditaati oleh seisi rakyat. Namun, itu semua tidak lama. Kuasa kegelapan di bawah pemerintahan Zenos meruntuhkan kebahagiaan yang dimiliki oleh rakyat Amania. Kuasa gelap itu ingin merampas takhta Raja Aziz dan sekali gus menakluki negara yang aman itu. Banyak jiwa telah terkorban. Keganasan mereka tidak ada tandingnya sekalipun Raja Aziz mengerahkan tenteranya untuk menyerang kuasa jahat itu namun tiada upaya. Mereka sungguh sakti dan perkasa. Raja Aziz dipenjara. Permaisurinya diambil menjadi hamba Zenos. Rakyat hidup menderita. Air mata yang jatuh ke bumi adalah titis-titis harapan agar kezaliman dihentikan. Apakah hidup aman sudah tiada lagi di muka bumi? Pertanyaan yang menggunung dalam hati rakyat Amania dan mereka hanya menunggu jawapan. Tiada kudrat yang dapat menewaskan kudrat Zenos dan tenteranya.

            Zenos menjadikan Permaisuri Sha Sha sebagai isterinya. Dengan serta-merta Zenos adalah raja baharu. Semua rakyat Amania harus tunduk kepadanya. Bumi Amania yang subur dengan keindahan flora sudah berubah menjadi tanah yang tandus. Air sungai yang menjadi sumber nyawa rakyat Amania sudah kering-kontang. Rumah-rumah juga hangus dibakar tentera zalim Raja Zenos. Anak perempuan dibunuh dan disembelih lalu darahnya diambil buat santapan Raja Zenos. Hanya darah anak perempuan yang boleh menghilangkan dahaganya. Anak-anak lelaki membesar menjadi hamba.

            Raja Zenos berketawa megah di atas singgahsana. Dia terhibur dengan penderitaan yang dialami oleh rakyat Amania. Impian Raja Zenos yang seterusnya ialah membina sebuah tembok Abadiyat di belakang gunung suci Naf. Gunung suci Naf dikatakan gerbang 7 penjuru alam. Oleh itu, seandainya tembok Abadiyat berjaya dibina, Raja Zenos akan melaksanakan upacara penyembahan agar 7 pintu gerbang alam dibuka dan permohonannya untuk hidup kekal akan dimakbulkan maka dia akan menjadi Raja yang berkuasa dan kekal selama-lamanya.  Rakyat Amania tidak mahu cita-cita zalim Raja Zenos tercapai. Mereka tidak mahu selama-lamanya hidup dalam kezaliman. Mereka masih percaya akan takdir Yang Maha Kuasa. Tuhan pasti akan membantu hambanya yang benar.

            Lima tahun Raja Zenos menjadi pemerintah di Amania. Lima tahun juga rakyat Amania menanti cahaya yang dikirimkan tuhan dengan penuh kesabaran. Tembok Abadiyat sudah hampir siap. Tiangnya diperbuat daripada besi Nurani, lantainya berasaskan emas, pintunya bertatahkan Zamrud dan halamannya dikelilingi tasik dari air Kutub Selatan dan Utara. Bahan-bahan pembinaan tembok itulah menyebabkan rakyat Amania mengambil tempoh yang panjang untuk membina sebuah tembok. Mereka juga sengaja melengahkan masa untuk menyiapkan tembok tersebut. Tidak ada di antara rakyat Amania yang mahu melihat negara mereka dikuasai oleh Raja Zenos selama-lamanya.

            Suatu malam, ketika rakyat Amania masih lagi menjalankan tugas membina tembok Abadiyat, muncul sebuah cahaya dari tanah gunung Naf sehingga ia berpecah tujuh di langit. Cahaya itu kemudiannya hilang. Dan perkara itu menjadi tanda tanya rakyat Amania serta tentera zalim yang mengawal di tembok itu. Mungkinkah tuhan sudah mengirimkan kemenangan untuk rakyat Amania? Atau cahaya berpecah tujuh itu adalah simbol bahawa cita-cita Raja Zenos akan termakbul?

            Di kota Amania, tujuh cahaya yang melukai kepekatan malam meresap masuk ke dalam tubuh beberapa orang perwira yang terpilih. Mereka adalah orang-orang Amania yang mempunyai hati yang kudus. Beberapa orang yang menyaksikan peristiwa ini melonjak kegembiraan. Perwira sudah muncul. Amania akan kembali seperti dahulu. Mereka akan hidup aman dan bahagia.

            “Enam perwira kita sudah muncul! Enam perwira kita sudah muncul! Kita bebas! Kita akan aman! Hidup Amania!”

            Rakyat Amania sudah terpekik terlolong kegembiraan. Enam perwira melayang ke langit. Tubuh mereka bersinar. Di tangan mereka sebilah pedang Zunnafsi. Tentera zalim mula mengorak langkah untuk menyerang. Raja Zenos yang nyenyak tidur bangkit dari peraduan. Dia melangkah ke jendela bilik. Kemarahan memuncak di hatinya apabila melihat sesuatu yang bersinar di langit kota Amania. Raja Zenos pantang jika ada kuasa yang lebih kuat dari kuasa gelapnya. Dia juga tidak mahu kekuasaannya ditewaskan. Kelak hancur musnahlah cita-citanya untuk hidup kekal.  Raja Zenos menggenggam tangannya lalu menumbuk dinding bilik dan terus pecah.

            Raja Aziz terhidu peperangan di penjaranya. Baginda merasakan bahawa penderitaan yang dialami oleh penduduk Amania akan berakhir. Baginda memanjatkan syukur. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa di dalam penjara melainkan menggunakan mata hati untuk melihat keadaan negaranya di luar. Permaisuri Sha Sha melihat Raja Zenos keluar dari bilik peraduan untuk menghadap bala tenteranya. Lantas Permaisuri Sha Sha berlari ke penjara senyap-senyap. Baginda ingin menyelamatkan suaminya. Tetapi apakan daya, pengawal penjara yang zalim terus menangkap permaisuri.

            “Kanda!!”

            Jeritan Permaisuri Sha Sha didengari oleh Raja Aziz. Raja Aziz meronta-ronta untuk keluar dari penjara. Baginda juga menjerit nama isterinya. Baginda tidak mahu isterinya diapa-apakan. Pengawal zalim membawa Permaisuri kepada Raja Zenos. Raja Zenos sungguh murka lalu ditamparnya Permaisuri Sha Sha bertalu-talu. Permaisuri Sha Sha sempat tersenyum kepada Raja Zenos dalam baginda menahan perit.

            “Kau lihat Zenos. Kau akan kalah! Kau akan mati! Beta dan suami tidak akan maafkan kau sekali-kali! Binasalah kau Zenos!!”

            Pedang Raja Zenos menikam tepat ke dada Permaisuri Sha Sha.

            “Campak dia ke belantara! Biar menjadi bangkai di sana!” Arah Raja Zenos. Permaisuri Sha Sha kesakitan. Nafasnya turun naik mencari sedikit kehidupan. Darahnya mengalir menyimbah bumi Amania. Air matanya juga menitik membasahi tanah Amania. Hanya hatinya masih melafazkan nama si suami. Segala kecintaannya untuk suami tercinta.

            Di belantara, Permaisuri Sha Sha dicampak. Terbaring lemah permaisuri di atas tanah yang berlumpur. Dipegangnya perut yang mengandungi jiwa lain. Raja Aziz juga tidak tahu bahawa dia mengandung seorang anak. Anak berdarah Raja Zenos. Permaisuri Sha Sha menjerit lemah. Baginda bertarung dengan kematian. Matanya sudah kabur, nafasnya kian lemah. Rupanya ada mata yang sedang memerhati dalam ketakutan. Perlahan-lahan Kanna menghampiri tubuh seorang wanita yang parah. Kanna menyuluhkan obor api ke arah wanita yang nazak. Terlihat Kanna akan wajah Permaisuri Sha Sha.

            “Tuanku.” Ucap Kanna terperanjat. Sayu hatinya melihat Permaisuri Sha Sha dalam keadaan begitu. Kanna melaknat kuasa gelap yang terlalu zalim. Disentuhnya tubuh Permaisuri Sha Sha dengan linangan air mata. Permaisuri Sha Sha masih bernafas lemah namun untuk menyelamatkan baginda tipis sekali peluangnya. Permaisuri Sha Sha memandang Kanna dengan pandangan lemah. Disentuhnya tangan Kanna sambil berkata sesuatu.

            “Tolong beta. Anak..beta.. “

            Kanna termangu sambil memacakkan obor di sisinya. Dilihatnya perut Permaisuri Sha Sha yang sedikit memboyot. Kanna juga runsing bagaimana tindakan yang harus dia lakukan.

            “Belah perut beta segera..sebelum nyawa beta tamat..” suara Permaisuri Sha Sha lemah. Kanna melihat parangnya yang tersisip pada pinggangnya. Hati Kanna berbelah bahagi. Terasa berdosa melakukan begitu. Jika difikirkan, Permaisuri Sha Sha juga tidak dapat diselamatkan. Biarlah ada jiwa yang dapat diselamatkan.

            Kanna melihat Permaisuri yang sedang nazak. Lantas ditariknya parang pada pinggang, tangannya terketar-ketar untuk membelah perut Permaisuri Sha Sha. Kanna menahan sendu lantas di belahnya perut Permaisuri Sha Sha. Saat itu Permaisuri Sha Sha menghembuskan nafas terakhir.

            Tangisan seorang bayi yang mungkin berusia tujuh bulan memecahkan suasana suram di belantara. Kanna maklum anak itu baka pemerintah kejam. Namun apakah dia mesti membunuh bayi yang tidak berdosa. Dosa itu milik ayahnya. Kanna mendukung bayi itu lalu dia membaca mantera ke atas bayi tersebut.

            Di Kota Amania, peperangan masih berterusan. Tidak siapa tahu berkenaan Permaisuri Sha Sha atau bayinya. Orang-orang Amania ramai yang terkorban ketika pertarungan. Enam perwira juga berjuang mengalahkan kesaktian tentera kegelapan. Ramai juga bala tentera zalim yang musnah. Raja Zenos sudah tidak tahan membendung perasaan amarahnya. Api hitam bersemarak di sekeliling tubuhnya hingga Raja Zenos terbang melayang ke langit. Matanya melihat salah seorang perwira yang rakus mengalahkan tenteranya. Pedangnya di angkat lalu ia terbang menghampiri perwira tersebut.

            Pahlawan Nafsi Setia Perkasa peka akan kehadiran Raja Zenos. Lalu dia mengelak dari libasan pedang Raja Zenos yang berkuasa. Pedang bertemu pedang di angkasa. Pahlawan Nafsi Setia Cahaya, pahlawan Nafsi Setia Wira, dan pahlawan Nafsi Setia Dewata melayang menghampiri Raja Zenos. Raja Zenos terlalu murka melihat pahlawan-pahlawan itu.

            “Kau hendak hapuskan aku? Siapa kamu?!” tengkingnya. Pahlawan Nafsi Setia Perkasa menyahut.

            “Kami Wali 7 Penjuru Alam. Kami mendengar rintihan makhluk tiada dosanya lalu kami kemari menghulur jihad. Engkau Zenos dimurkai tuhan. Kau tiada hak menjadi tuhan!”

            Raja Zenos bertambah marah. “Dalang pengganggu! Tiada upaya kamu menghalangi kuasaku!”

            “Tuhan juga memberi engkau kuasa tapi kau menyekutukan anugerahnya maka hari ini tamatlah riwayat kau!” Pahlawan Nafsi Setia Perkasa memulakan pertarungan kembali. Sungguh kuat sekali Raja Zenos. Kelima-lima pahlawan tersebut berjaya ditangkisnya. Kali ini Pahlawan Nafsi Setia Nuqoba muncul setelah menamatkan peperangan dengan bala tentera zalim. Waktu itu Raja Zenos memijak ke bumi dan memandang ke seluruh Kota Amania. Bala tenteranya ramai yang mati.

            Raja Zenos menjerit gila. Kuasanya bertambah. Diserunya jin dan syaitan untuk membantunya. Pahlawan Nafsi sekalian bergabung tenaga masing-masing. Wujud cahaya di tapak tangan mereka berenam lalu bersatu di antara semua. Apabila dirasakan kuasa mereka mencukupi lalu disuakan ke arah Raja Zenos. Raja Zenos masih tidak mahu mengalah biarpun dia di ambang maut. Pahlawan Nafsi Setia Nuqoba meluncur ke arah Raja Zenos lalu menikam jantung Raja Zenos dengan pedang Zunnafsi. Raja Zenos mati di situ. Jasadnya terbakar.

            Air mata kesyukuran menitis ke bumi. Rakyat Amania saling membantu memapah insan yang telah tercedera. Raja Aziz dibebaskan dari sangkar besi. Baginda melewati Kota Amania yang sudah lama hilang di penglihatan. Baginda juga menangis melihat nasib yang sudah menimpa rakyat jelatanya. Baginda juga sudah kehilangan Permaisuri Sha Sha. Keenam-enam pahlawan menghadap Raja Aziz. Pahlawan Nafsi Setia Nuqoba memulakan bicara.

            “Ampun tuanku. Patik berenam merupakan wali dari 7 penjuru alam. Amania akan pulih menjadi sebuah negara yang aman di bawah naungan tuanku. Patik tidak lama di sini. Patik berenam akan pulang ke alam masing-masing.”

            Raja Aziz masih bermuram durja. Baginda terlalu sedih mengenangkan Permaisuri Sha Sha.

            “Apakah tuanku tidak gembira? “ Pahlawan Nafsi Setia Nuqoba bertanya apabila Raja Aziz masih menampakkan kesugulan di wajahnya.

            “Permaisuri beta.” Lafaz Raja Aziz. Mendengarkan titah Raja Aziz. Para pahlawan membantu mencari Permaisuri Sha Sha sehingga ke belantara. Langsung ditemui jasad Permaisuri Sha Sha yang sudah tidak bernyawa dan dihadapkan kepada baginda Raja Aziz. Raja Aziz terlalu sedih. Syahdu hatinya melihat Permaisurinya diperlakukan begitu. Setelah itu, pahlawan tersebut lenyap dan meninggalkan jasad yang dipinjam mereka. Amania mengorak langkah baharu.





Bab 1

Fixora berlari dengan tangkas lalu memanjat pokok-pokok yang tinggi ke langit. Dia duduk di sebatang dahan yang kukuh. Dari jauh Fixora melihat pembangunan pesat Amania. Dia berangan-angan ke sana. Dia teringin sekali mencari kawan. Selama ini hidupnya tidak berteman. Dia juga mungkin tidak memahami erti persahabatan.  Yang bersama di sisinya ialah Kanna, ibunya. Fixora tidak faham mengapa ibu tidak membenarkan dia ke Kota Amania. Fixora juga rakyat jelata Amania, dia juga punya hak untuk duduk di sana.  Fixora termenung melihat Kota Amania yang indah itu.

            “Hakikatnya aku gadis pokok.” Cakapnya sendiri. Terpaksalah dia menukilkan angan-angan di lubuk hati untuk menjejaki Kota Amania. Fixora melihat sebuah menara tersergam indah berdekatan sebuah gunung di sana. Menara itu bersinar dari jauh. Hati kecil Fixora membuat beribu andaian. Mungkin ada permata, mungkin juga emas, mungkin berlian, mungkin kaca, mungkin mutiara dan pelbagai mungkin yang diandainya tatkala melihat menara itu. Fixora menitipkan azam untuk pergi ke menara itu suatu hari nanti apabila Kanna mengizinkannya.

            Angin bertiup menerbangkan daun-daun yang gugur dan sudah layu. Fixora suka keadaan itu. Tenang dan nyaman. Lalu dia melompat ke tanah. Fixora menepuk-nepuk seluarnya. Kulit-kulit pokok tertanggal. Lalu dia berjalan menuju ke rumahnya. Dia melihat Kanna tercegat di pintu rumah.

            “Ibu.” Panggil Fixora seraya berlari ke arah Kanna. Dia mendakap manja Kanna. Kanna membelai rambut anaknya.

            “Ixo ke mana tadi? Ibu panggil, Ixo tiada menyahut.” Kata Kanna risau. Bukan selalu Fixora berkelakuan begitu tetapi sudah berkali-kali. Namun, Kanna juga tidak pernah penat bertanya perihal yang sama. Fixora meleraikan pelukan kemudian masuk ke dalam rumah. Dia menghenyakkan punggung di atas kerusi kayu rumah.

            “Ibu takkan tidak tahu. Ixokan suka menjelajah hutan. Panjat pokok, tengok Kota. Angan-angan dan itu saja ibu.”

            “Ixo masih lagi rupanya berangan ke kota. Lupakan saja nak. Di sana bahaya, hutan ini pun apa kurangnya. Angin segar. Sunyi. Di sana bising. Manusia berpekikan.” Terang Kanna. Fixora menarik muka masam.

            “Itu saja ibu katakan. Sekali-sekala ibu bawalah Ixo ke sana. Ixo teringin ibu. Apalah nasib dapat tengok dari jauh saja.” Fixora menyuarakan keluhan. Dia teringin benar untuk ke kota Amania.

            “Anak ibu yang jelita. Nanti ada lelaki yang cuba menyakitimu. Ibu khuatir.” Kanna memberikan alasan sambil menghampiri anaknya lalu diusap ubun-ubun anaknya. Fixora masih merajuk. Kakinya menguis-nguis lantai rumah.

            “Yalah, nanti ibu bawa ke kota. Ixo bersabarlah dahulu. Sekarang ibu sangat sibuk mengubat orang.” Kanna memujuk anaknya. Fixora tersenyum melihat Kanna.

            “Itulah yang Ixo mahu ibu. Janji ya ibu. Ixo tunggu.” Fixora tersenyum bahagia. Kanna membalas senyuman anaknya namun jauh di sudut hati dia berasa sungguh risau. Dia risau kalau-kalau pembesar Amania dapat menghidu bahawa Fixora adalah keturunan Raja Zenos. Pasti Fixora akan dibunuh. Kanna mengingatkan dirinya terhadap peristiwa 21 tahun dahulu.

            “Hari ini kita sudah boleh membina hidup baharu. Kejahatan dan kegelapan selama lima tahun sudah berakhir. Kota Amania kita bangunkan semula. Kukuhkan negara kita! Bina akhlak rohaniah. Kuasa gelap akan bangkit jika kita semua sudah hilang nilai, tiada kesatuan, saling menjatuhkan. Ingat pesan terakhir enam pahlawan nafsi, tidak bererti kuasa gelap sudah lenyap selama-lamanya. Buktinya, pedang kegelapan iaitu pedang Livios milik Raja Zenos tidak dapat dimusnahkan dan ia masih terpacak di tanah suci gunung Naf. Tidak ada dalam kalangan rakyat Amania mahupun Raja Aziz sendiri dapat mencabutnya. Ini semua menyebabkan tanda tanya apakah kuasa gelap mempunyai waris? Kita semua tidak tahu. Oleh itu, barang siapa yang mengetahui akan hal ini maka bunuhlah dia (waris) atau bawa menghadap paduka Raja Aziz.” Umum Pembesar Diraja, Panglima Setia Rejawan. Rakyat jelata mulai risau. Semenjak dari hari itu, semua rakyat jelata diperiksa asal usul keturunannya. Rakyat jelata juga disuruh menyentuh batu kristal Amania yang dapat mengesan aura kegelapan dalam diri seseorang manusia.

            Sehingga kini, perbuatan menyentuh batu kristal Amania masih di amalkan. Kanak-kanak yang baru lahir juga akan menyentuh batu kristal Amania. Bagaimana nanti sekiranya Fixora yang menyentuhnya. Jika perkara ini ketahuan pasti Fixora dibunuh. Kanna tidak mahu perkara ini terjadi. Hanya Fixora yang dikasihinya selama ini. Kanna tidak berkahwin. Kanna adalah wanita anugerah tuhan yang istimewa. Rahimnya kosong daripada telur. Takdir tuhan diterimanya dengan penuh tabah. Muncul pula Fixora dalam hidupnya. Bagi Kanna ia adalah anugerah tuhan buat dirinya yang serba kekurangan. Fixora memenuhi hasrat keibuannya. Dia mendidik Fixora dengan rasa kasih. Dia menerapkan unsur-unsur mulia dalam diri Fixora. Biar anak gadis itu tumbuh sebagai manusia yang berakhlak agar kuasa gelap tidak mungkin menghampirinya.

            Fixora sudah berganjak ke ruang dapur untuk mendapatkan dua gelas teh Kombucha kegemarannya. Segelas lagi diberikan kepada ibunya. Kanna mengucapkan terima kasih kepada anak gadisnya. Jika diteliti raut wajah Fixora ada iras Permaisuri Sha Sha. Fixora mewarisi kejelitaan ibunya. Mungkin Fixora lebih jelita dari ibu kandungnya. Mungkin juga kejelitaannya diambil sedikit dari keturunan zalimnya. Masakan orang zalim punya rupa? Tuhan itu Maha Adil. Orang jahat pun indah diciptanya. Tetapi sejauh mana nikmat itu disyukuri. Tuhan memperlihatkan kekuasaannya pada makhluk yang indah sebenarnya tidak indah dan pada makhluk yang kekurangan sebenarnya berkelebihan. Keindahan juga boleh tidak kelihatan seandainya sikap kesyaitananlah yang dipamerkan. Ya, indah bukan pada rupa tapi pada sikap.

            Hari sudah semakin gelap lantaran malam menutup tirai. Besok sinar matahari mengintai lagi. Kanna akan bertolak ke kampung Marufa besok bagi mengubati pesakit yang buta matanya disebabkan keteguran. Kanna seorang bomoh tradisional. Dia mengubati pesakit menggunakan manteranya. Dia bukan tabib. Bomoh dan tabib ada bezanya. Serupa tapi tak sama.


KOTA Amania kelihatan meriah sekali. Mereka semua bergembira sempena pesta Kemerdekaan. Ada kanak-kanak yang bermain pedang sambil memakai kostum hitam menandakan kuasa gelap dan ada yang memakai kostum putih kononnya pahlawan Nafsi. Kanna menyinggah ke pasar sambil terhibur melihat suasana yang meriah itu.

            “Sejahtera kepadamu Mak Mulia. Ingin mencari apa di pasar ini?” sapa seorang peniaga sayur ramah. Mak Mulia ialah gelaran kepada sesiapa sahaja warga tua wanita pertengahan umur manakala lelaki digelar Pak Mulia. Kanna tanpa sedar sudah tercegat di hadapan jajaan sayur si peniaga itu. Tiada di dalam kepala Kanna untuk membeli sayur. Di rumahnya sendiri ada banyak sayur.

            “Sejahtera kepadamu juga. Saya mencari ikan Sebelah wahai Mak Mulia peniaga.“ Jawab Kanna. Lalu Kanna pun menuju ke suatu sudut tempat menjual daging, ayam dan binatang laut. Kanna ingin memasak ikan Sebelah yang istimewa buat anak gadisnya. Dia menghampiri jualan ikan si peniaga berbaju merah.

           “Ikan apa Mak Mulia? Semua segar-segar belaka.” Sapa si peniaga ikan. Kanna menunjuk ikan Sebelah. “Bagi satu,” pintanya.

            “Mak Mulia datang besok?” suara si peniaga ikan sambil membungkus ikan Sebelah. Kanna mengangkat keningnya.

            “Apa yang ada besok?” tanya Kanna hairan.

            “Takkanlah Mak Mulia tidak tahu. Besok ada pertandingan berlawan pedang. Kalau Mak Mulia ada anak lelaki remaja atau dewasa, bolehlah Mak Mulia suruh mereka sertainya. Kalau anak Mak Mulia berani.”

            “Kalau anak perempuan?”soal Kanna.

            “Kalau anak perempuan ada pertandingan Ratu Jelita, pertandingan congkak, gusti lengan, menyanyi, memasak, menari, memanah, serta menunggang kuda. Yang ini lelaki pun boleh ikut kecuali Ratu Jelita. Perempuan semua boleh kecuali pertandingan berlawan pedang.” Jelas peniaga ikan. “Oh, macam itu ya. Tengoklah macam mana.”Balas Knna kemudian mengambil ikan Sebelah yang dihulurkan oleh peniaga ikan tersebut lantas memohon izin untuk pergi. Kanna ingin membawa Fixora ke kota bagi menyaksikan acara pertandingan yang berlangsung pada esok hari.

            Di rumah Kanna melihat Fixora bermain-main dengan anak tupai. Melihat kedatangan Kanna, Fixora gembira. “Ikan Sebelah?” tanya Fixora keriangan. Fixora suka benar memakan ikan Sebelah.

            “Ixo, besok ibu bawa ke Kota.” Kanna memberitahu anak gadisnya.

            “Ibu betulkah ibu?” tanyanya gembira.

            “Ya. Tapi Ixo mesti ikut cakap ibu. Kalau ibu kata jangan, maka jangan. Kalau ibu kata mesti, maka mesti.” Kanna memesan anaknya. Dia masih risau jikalau pembesar Amania mengetatkan kawalan terhadap rakyat jelata. Kanna berdoa supaya urusannya dipermudahkan.

            “Baiklah ibu. Ixo ikut cakap ibu.” Ujar Fixora. Kanna menuju ke ruang dapur untuk memasak. Fixora pula menyambung bermain dengan anak tupai. Seketika burung Kakak Tua datang menghinggap di sebatang dahan pokok Jejawi. Burung itu mematuk-matuk sayapnya. “Kau tinggallah di sana, ada kawan aku,” kata Fixora kepada burung itu. Burung Kakak Tua masih mematuk-matuk sayapnya.

            “Ibu. Ixo ke sungai sekejap ya ibu.” Fixora memberitahu ibunya. Kanna membenarkan anaknya ke sungai Nyaman. Tempat itu tempat yang paling disukai Fixora. Airnya segar sekali bahkan sedap jika diminum. Fixora berlari merentasi beberapa pokok. Lagi beberapa selok, Fixora akan sampai.

            Fixora terus berjalan ke gigi air. Sejuk. Kesejukan itu yang menjadikan Fixora cinta sekali kepada air sungai itu. Sungai Nyaman memang nyaman. Fixora menghirup seteguk air sungai Nyaman. Rambutnya yang diikat dilepaskan. Biar angin membawa terbang rambutnya. Rambutnya ikal separas bahu.  Fixora berjalan sehingga ke paras yang lebih dalam. Dia berenang dan menyelam. Di dalam sungai ada ikan biru. Ikan itu dikatakan karnivor tetapi selama Fixora menyelam tidak pernah pula dia diserang. Kanna juga mengetahui kenyataan itu. Anaknya seperti Permaisuri Sha Sha, disukai binatang bahkan binatang ganas pun menjadi jinak apabila melihatnya. Raja Zenos sahaja yang tidak jinak! Rupanya Raja Zenos lebih hina dari binatang.

            Fixora menuju ke tebing sungai. Dia sudah menggigil kesejukan. Dia ingin membiarkan matahari menghangatkan tubuhnya. Tiba-tiba dia teringat kata-kata ibunya untuk membawanya ke kota besok. Fixora tersenyum sendirian. Dia bangkit dan memercik-mercikkan air ke arah rumput-rumput di tebing.

            Tanpa disedari ada seorang lelaki yang memerhati dirinya.

      “Keluarlah. Tidak bagus menghendap wanita mandi.” Kata Fixora selamba sambil meneruskan gelagatnya bermain air. Fixora juga cekap menangkap pergerakan manusia atau binatang. Selalunya manusia itu adalah ibunya tetapi aura yang berselindung di sebalik belukar bukan seperti ibunya. Lelaki yang terdengar kata-kata Fixora menampakkan diri. Fixora melihat lelaki itu. Pakaiannya lusuh sahaja.

            “Saudari tidak takut dengan ikan Biru? “ tanya lelaki itu. Fixora tertawa.

          “Aku tidak takut. Kamu takut?” jawab Fixora. Lalu dipercikkan air itu kepada si lelaki. Lelaki itu ketakutan. “Jangan saudari.” Elaknya.

            “Aku kau saja. Tidak perlu saudari saudara. Aku tau kau baik. Tidak jahat. Dari mana asal usul kau?” Fixora naik ke atas tanah lalu memerahkan hujung bajunya. Lelaki itu masih takut-takut dengan gadis jelita yang mendekatinya. Mungkin gadis bunian, bisik hatinya.

            “Kau berani saja menghendap aku tapi pengecut.” Kata Fixora lagi. Dia ketawa.

            “Pertanyaan aku pun kau belum jawab,” sambung Fixora. Lelaki itu teragak-agak untuk menjawab. “Aku tinggal di kampung Marufa. Kau pasti taukan?” Lelaki itu bersuara.
            “Nama kau siapa? Apa kau buat di sini?”

            “Aku Dean. Aku saja mahu berjalan di sini dan terserempak kau berenang-renang di sini. Setahu aku tiada orang berani ke sungai ini kerana takut diapa-apakan ikan Biru itu. Tapi kau boleh saja menyelam ke sungai itu. Maafkan aku mungkin kau Puteri Bunian. Patik tidak sengaja ke mari tuanku.” Dean tunduk menyembah. Fixora menolak bahu Dean sambil ketawa.

“Kau lucu. Aku bukan puteri bunian. Aku orang hutan. Tinggal di sungai ini. Aku makan darah manusia. Aku gembira kau datang.” Gurau Fixora. Dean mengundurkan diri bersedia untuk lari.

            “Eh, kau hendak ke mana? Aku bergurau saja.”

            Dean sudah tidak menghiraukan lagi kata-kata Fixora lalu memulakan langkah seribu. Fixora memanggil-manggil nama Dean tetapi Dean tidak peduli. Fixora geli hati, dia ketawa sepuas-puasnya.

            Habis ketawa, Fixora terjun ke dalam sungai. Menyelam dan melihat ikan Biru yang berenang-renang di dalam air sungai. Ia kelihatan bengis. Tetapi ikan itu tidak mengapa-apakan dia. Selama ini dia tidak tahu jika ikan Biru binatang berbahaya. Ibu pun tidak pernah menceritakan kepada dia. Fixora berenang-renang ke arah ikan Biru. Ikan Biru seperti tidak takut akan dirinya bahkan Fixora dapat menyentuh ikan itu. Tidak logik, getusnya.

            Fixora jadi risau tiba-tiba. Barangkali Dean sudah mengkhabarkan orang kampung perihal dirinya. Kanna pasti akan marah. Fixora lekas pulang ke rumah. Takut dijumpai oleh penduduk kampung. Kanna selalu berpesan jangan menampakkan dirinya kepada orang asing atau orang Amania melainkan jika Kanna yang memperkenalkan Fixora kepada orang Amania.

            “Ibu! Ibu!” Kanna menjerit nama ibunya. Kanna terkejut lantas menemui anaknya.
Fixora mendapatkankan Kanna dalam keadaan basah kuyup.

            “Ibu jangan marah. Tadi ada orang menghendap Ixo mandi-manda di sungai. Lepas tu dia anggap Ixo puteri bunian lalu dia ketakutan dan terus berlari pulang,” beritahu Fixora.

            “Kan ibu sudah pesan. Jangan cari fasal dengan orang Amania.”

            “Ixo tahu ibu. Tapi Ixo juga tidak perasan pada mulanya. Dia hairan kenapa Ixo boleh mandi di sungai itu. Kata dia, ikan Biru makan orang. Betulkah ibu? Tapi Ixo boleh pegang lagi ikan Biru itu tadi.” Fixora menjelaskan peristiwa tadi. Kanna menyuruh Fixora menukar pakaian kerana makanan sudah siap. Dia berjanji akan menerangkan Fixora perihal pertanyaannya.

            Ketika menikmati juadah makan malam. Kanna memulakan cerita.

            “Ixo, Ixo punya satu kelebihan istimewa. Orang lain pun tidak ada.” Beritahu Kanna. Fixora berasa teruja untuk mendengarnya.

            “Macam mana ibu?” tanyanya.

            “Ixo mampu menundukkan haiwan ganas sehingga menjadi jinak ketika haiwan itu berhadapan dengan Ixo.“ Fixora bagaikan tidak percaya. Patutlah selama ini ikan Biru itu tidak memakannya.

            “Ibukan ibu Ixo. Pasti ibu memiliki kelebihan yang sama?” soal Fixora. Kanna terkedu. “Ibu tiada nak. Itu anugerah tuhan Yang Maha Esa untuk Ixo.”

            “Adakah tuhan tidak adil ibu?” Fixora bertanya.

            “Jangan sesekali kata macam itu Ixo. Tuhan itu Maha Adil. Semua yang diberi ada hikmahnya. Ibu juga ada kelebihan. Ibu seorang bomoh tradisional. Mantera yang ibu miliki belum tentu Ixo warisi. Begitulah aturanNya Ixo”.

            “Syukur kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Ixo sudah jelas ibu. Tuhan beri setiap seorang kelebihan dan kekurangan. Tuhan juga pernah berfirman macam yang ibu beritahu: Apakah kamu tidak berfikir?” Kanna mengusap kepala dan rambut anaknya. Fixora sentiasa mengingati nasihatnya. Mudah-mudahan Fixora tumbuh menjadi seorang gadis yang berakhlak tinggi.

            “Bagus Ixo. Berpeganglah pada kepercayaan kita bahawa tuhan tidak akan meninggalkan hambanya yang lemah dan sentiasa memberikan kelebihan kepada hambanya yang bersyukur serta berhati kudus. Siapa nama lelaki yang Ixo temui itu? Apakah Pak Mulia atau jejaka muda?” tanya Kanna.

            “Orangnya tinggi, mukanya tampan. Belum berkedut. Pastinya jejaka muda. Mungkin seusia Ixo, ibu. Ah, dia tinggal di kampung Marufa.” Kata Fixora. Kanna mendiamkan dirinya sebentar. Kampung Marufa boleh dikatakan dekat dengan hutan. Untuk sampai ke rumah Kanna akan mengambil masa 45 minit tetapi tiada siapa yang dapat menemui rumah ini kerana sudah dimanterai Kanna. Jika ada manusia yang lalu, mereka tidak akan terperasan tempat ini.

            “Habiskan makanan Ixo. Mahu segera tidur supaya besok kita dapat bertolak awal. Subuh-subuh lagi kita jalan ya nak.” Pesan Kanna kepada anak gadisnya. Fixora tersenyum sambil menganggukkan kepala tanda setuju.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan