Utama

Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan. Papar semua catatan

Khamis, 28 Mei 2015

Kupinta Sahabat Dalam Doaku

Sahabat.

     Orang kedua yang rapat dengan kita selepas keluarga. Orang yang akan sentiasa bersama dengan kita. Sahabat bukan kawan. Sahabat lebih dekat di hati. Pejam mata pun masih boleh nampak wajahnya, sekadar bayangan sahaja. Sahabat seorang yang setia dan sabar menjaga maruah sahabatnya.

     Aku terkenang saidina Abu Bakar R. A, di mana beliau bersabar tatkala kakinya dipatuk ular sehingga mengalir air mata. Ketika itu Rasulullah S.A.W sedang nyenyak tidur di pangkuan Abu Bakar. Setianya beliau, adakah mampu aku menjadi sepertinya?

     Sewaktu di bangku sekolah,  aku mengimpikan seorang sahabat. Pada ketika itu,  aku dikelilingi kawan. Sukar mencari sahabat. Bukan kerana diriku terlalu bongkak memilih sahabat tetapi tiada yang bersesuaian dengan karenahku. Tiada yang bertahan dengan sikapku. Dan aku sendiri kurang pandai menyesuaikan diri dengan mereka. Berkat kesabaran,  Allah datangkan tujuh sahabat kepada aku. Bukan sahabat biasa, mereka luar biasa padaku. Mereka miliki aura dan kepintaran yang membuatkan aku mengagumi mereka.

     Alangkah sukanya aku mendapat sahabat. Aku yang bersikap kurang celik dengan persekitaran berubah sikap. Aku belajar erti pergaulan. Erti persahabatan. Sehingga aku taksub dengan kekuatan "persahabatan" itu.

     Takdir Ilahi, berlaku satu pertengkaran dalam kalangan kami bertujuh. Aku juga menjadi dalangnya. Akhirnya kami berpecah dan tidak  sekepala lagi. Aku tidak bertindak menjadi pendamai bahkan aku jugalah racun berbisa.

     Seorang sahabat tersisih! Hidupnya menyendiri tetapi pandai bergaul dengan formasi lain. Seorang sahabat yang punyai pegangan hidup. Berdirinya di atas sebuah prinsip. Tidak tergugah jati dirinya apabila dipulaukan rakan. Dia terus mara, terus meraih keputusan akademik yang baik. Sehingga suatu ketika aku penat melayan egoku.

     Aku dirundung masalah. Masalah akademik dan masalah bersama sahabat yang lain. Aku keliru. Lalu kubiar pergi kekeliruan itu.

     Seketika berjalan di sekitar asrama, aku melihat sahabat yang aku sisihkan. Berteleku di surau, berdampingan dengan Allah. Allah itu dekat dengan nadi di leher kita.

     Dia sahabatku,  langsung tidak melihat wajahku. Aku juga tidak senyum padanya. Ingin sekali aku menyapa tapi besarnya dosaku padanya. Mahu sahaja aku memohon ampun tetapi tidak tahu caranya.

    Setelah beberapa hari berlalu, kelibat sahabatku membuatkan aku kesal dengan tindakanku. Malam itu aku bersolat sunat hajat.

"Engkau bukalah pintu hatinya untukku. Engkau lembutkan hatinya untuk terima aku sebagai sahabatnya.."

    Begitulah doa yang aku titipkan kepada Allah. Allah Maha Mendengar. Tidak lama kemudian, aku lihat dia senyum kepadaku dan aku menyapanya. Kami berbual aku lepak di biliknya. Sungguh, dia bagaikan seorang kaunselorku. Ayat yang bernas, dramatik.

     Setiap apa yang berlaku ada penyelesaiannya. Masalah apabila diselesaikan akan terasa nikmatnya. Indahkan persahabatan. Ini kisah sahabat dalam doa. Satu-satunya manusia yang aku pernah minta agar dia menjadi sahabatku menerusi doa.

#Jangan sesekali sisihkan sahabat. Jika sahabat tersasar amalkan "watawasou bil haq,  watawasou bissobr" (berpesan-pesanlah kepada kebenaran,  berpesan-pesanlah kepada kesabaran).
     

Rabu, 27 Mei 2015

Salah Faham

Bismillah.

Mengimbau sejarah lama kehidupan sewaktu aku masih kecil-kecil dahulu. Aku sendiri sudah lupa pada usia berapa kisah ini yang penting ia berlaku sekitar umurku 6 - 7 tahun. Mengapa aku menganggar begitu? Kerana kisah ini bermula di Tambunan, atas dari umur 7 tahun, aku sudah berpindah ke Keningau.

     Aku berjalan-jalan bersama emak dan ayahku di sebuah Market. Tabiatku sewaktu kecil ialah meraba-raba setiap barangan yang aku lihat. Begitulah kalau tiada kerja, maklumlah kita jadi tukang ikut-ikutan belakang emak dan ayah saja. 

    Akhirnya, aku terpegang makanan dalam tin. Makanan yang tidak halal. Aku sendiri pun tidak tahu ia tidak halal. Main pegang sahaja.

     Sekembalinya aku di rumah, emak menyuruh aku mengambil tanah. Pada ketika itu rumah aku, rumah flat. Jadi, aku pun mencedok tanah ke dalam bekas tupperware dan membawanya naik ke atas, ke rumahku. Emak menyuruh aku mencuci tanganku menggunakan tanah. Basuhan pertama menggunakan tanah, kemudian disusuli dengan enam basuhan air mutlak. Selepas emakku memberitahu, dia berlalu masuk ke biliknya. Aku ditinggalkan di singki dapur bersama tupperware berisi tanah. Terkebil-kebil mata aku melihat paip dan tanah itu. Aku sebenarnya tidak faham kenapa emak menyuruh membasuh tanah! Bagaimana caranya membasuh tanah? Aku kecil lagi manalah aku faham.

     Aku pun mengepallah tanah itu, dan membasuhnya. Tanah itu mencair dan mulai hilang dari tanganku. Tambahan pula, air itu deras! 

"Hisy, macam mana mahu cuci kalau tanah asyik cair dan jatuh ke lubang singki!" Aku marah sendiri.

     Aku terus mengulangi perbuatanku. Aku basuhlah tanah itu hinggalah tanah itu berbaki sebesar biji kacang di tapak tanganku. Aku letak di tepi. 

     Aku mengambil lagi sekepal tanah, basuh, hilang. Hilang tanah itu dari tapak tanganku sebab sudah hanyut di bawa arus air paip yang deras. Aku tidak berani memanggil emak dan memberitahunya bahawa aku tidak "dapat" mencuci tanah, kelak emak akan marah. Emak selalunya akan marah bila anaknya tidak berusaha.

Gambar hiasan

     Akhirnya, emak pun datang.

"Sudah samak tangan?" soalnya. Samak? Lagilah aku tak tahu. Aku diam sahaja.

"Sudah basuh tangan guna tanah dan bilas 6 kali?" sambung emak lagi.

     Aku menggeleng. "Mak, dari tadi Along cuci tanah tapi tak dapat cuci. Tanah cair terus jadi air," jawabku. Emak menggeleng-geleng kepalanya.

"Bukan begitu Along," ujarnya. Lalu emak memegang kedua-dua belah tanganku dan mengajar aku perbuatan samak dengan betul. Setelah selesai, aku tersengih-sengih.

"Oh, rupanya begitu!" Kataku bernada riang.

Selasa, 23 April 2013

Perhentian Bas Tenom




        Di perhentian bas Tenom, aku menanti seorang rakan. Kami berjanji melaksanakan misi pada hari ini. Namun, yang ditunggu masih tidak muncul. Ruang menungguku dipenuhi peristiwa. Aku gadis berkereta, yang biasa kunanti ialah si ayah atau si ibu datang menjemput dan tidak pernah hari-hariku digadai di perhentian bas berseorang tanpa teman. Aku menanti teman karib dari Tenom.

         Beginikah rupanya hidup si manusia perhentian bas, memanas punggung di kerusi duduk sambil melihat kereta datang dan pergi, melihat manusia pelbagai usia berkeliaran, melihat telatah pemandu bas dan penumpang, melihat orang-orang asing berpelesiran dengan jajaannya, ada juga bertangan kosong cuma sepuntung rokok di celah-celah jari telunjuk dan jari hantu. Aku melihat dua orang lelaki begitu asyik bercerita di sebelah kanan. Aku tidak pasti di mana hala tuju mereka. Mungkinkah ke Tenom. Aku seorang pemerhati bukan seorang wartawan. Ada lagi kulihat manusia mundar-mandir di sekitar kawasan kota. Ada yang menunggang motosikal berjaket hijau. Ada yang duduk menjaga sayur dan ikannya. Ada sebuah bas dari kampung Bunang ke Pekan Keningau tiba di perhentian tanpa penumpang. Di manakah teman karibku?

         Hujan turun renyai-renyai, aku masih di sini. Masih berfikiran sama. Kulihat lagi pemandu bas seorang ini yang rela dibasahi hujan demi rezeki hidupnya. Dia menghidupkan enjin bas. Enjin bas itulah muzikku. Seorang wanita bertudung datang bercerita dengan seorang teman. Dia melihat aku tetapi aku tidak ambil peduli lirikan matanya. Aku juga tidak mempedulikan teriakan hujan dan seluarku sudah basah. Namun apakah yang diinginkan si teman karibku sehingga aku jadi pemerhati unggul di perhentian bas Tenom.

        Ada lagi rupanya seorang penanti lelaki yang sibuk membaca majalah. Entah apakah judul majalah itu. Aku kurang jelas melihatnya. Pakaiannya biasa sahaja. Tidak berjenama dan sedikit lusuh. Aku kagum. Menambah ilmu tidak kira tempat dan tidak kira siapa si pembaca itu sama ada berpendidikan tinggi atau rendah. Marilah menjadikan membaca sebagai budaya.

        Air hujan sudah mula bertakung di perhentian bas. Air takungan bercampur bekas tapak kaki manusia, bekas tayar kenderaan, dedaunan yang jatuh daripada pohon semuanya sudah bercampur barangkali terselit ludah dan kahak. Kulihat longkang besar juga ditakungi air mutlak bersama tumbuh-tumbuhan yang suka-suka menumbuh di sana. Ia tidak seperti manusia yang kena berhati-hati dengan tanah hak milik orang lain sedang tumbuhan meletakkan hak tumbuh di mana-mana tempat kurniaan tuhan. Semua tempat milik Allah.

       Teman yang masih belum muncul membuatkan aku terharu melihat seorang lelaki 50-an yang turun ke longkang demi nyawa seekor anak kucing berwarna hitam. Dia membawa anak kucing itu ke perteduhan. Sesudah menunjukkan ihsan, dia menyeberang jalan dan terus hilang di sebalik deretan kedai. Alangkah eloknya jika aku seihsan lelaki itu tetapi aku tahu aku lebih khuatir stokingku basah dengan air longkang. Peristiwa tadi aku teladani.

      Kudongakkan sedikit wajah untuk melihat tingkat dua kedai di hadapan. Ada lelaki yang ulang-alik mengangkut dulang berisi makanan. Dari kedai ‘Honeysweet’ ke premis sebelah kanan. Teman, engkau melewatkan masa sehingga aku mempunyai ruang marah di dalam hati melihat si lelaki berbaju hijau membuang plastik hitam ke dalam longkang. Tong sampah di pondok tidak dia manfaatkan. Bahkan selepas menghabiskan nasi goreng dalam tapau polistirena, lelaki itu pantas menghumban tapau polistirena ke dalam longkang sekali lagi. Manusia kurang tamadun. Aku mengalih pandangan.

         Sekumpulan budak-budak remaja awal membuat bunyi bising. Mereka melimpasiku dan menyeberang jalan raya menuju ke kedai hadapan. Dahulu, aku tiada pengalaman seperti mereka. Aku tidak begitu senang dilepaskan keluarga untuk bersosial dengan rakan. Aku akur dengan tindakan orang tuaku yang penuh hikmah demi kebajikanku. Tiada apa yang perlu kukesali.

     Apakah perlu di setiap stanza aku menyatakan dirimu teman? Engkau melengahkan masa untuk menambah pengalamanku. Engkau memberiku rasa seperti mana yang engkau selalu rasa di perhentian bas ini. Aku melewati setiap detik di perhentian dengan kesabaran dan keseronokan menyaksikan ragam manusia di kota ini. Engkau sengaja memberiku inspirasi ketika menantimu. Betapa aku sedar kehidupan ini ada antagonis dan protagonis. Terima kasih teman karib dari Tenom, aku bahagia di perhentian bas Tenommu walaupun engkau tidak juga kunjung tiba.