Bab 2
Fixora berjalan bersama ibu tercinta, Kanna. Sesudah subuh mereka
berangkat ke kota. Fixora begitu teruja apabila matanya melihat bangunan-bangunan
di kota. Perumahan mereka juga cantik-cantik dan tinggi-tinggi belaka. Fixora
tertarik dengan replika bangunan yang mengandungi ukiran alam seperti pokok dan
binatang. Fixora tidak pernah melihat semua itu. Dia hanya gadis hutan yang
mengerti selok-belok hutan belantara.
Terdapat replika
seperti mangkuk daripada besi di tepi-tepi jalan. Fixora melihat ke dalam
mangkuk tidak ada apa-apa di dalam mangkuk itu. Kanna menyuruh Fixora menyuakan
tapak tangan di atas mangkuk itu dengan serta-merta air memancar-memancar
keluar setelah Fixora menyuakan tapak tangannya.
“Itu mangkuk ajaib. Air
itu boleh di minum. Ia dari gunung suci Naf.“ Kanna memberitahu Fixora. Fixora
mencedok air tersebut lalu meminumnya.
“Airnya menyejukkan
badan ibu. Lebih segar air ini dari air sungai Nyaman.” Kata Fixora. Kanna
menganggukkan kepala. Dia memimpin tangan Fixora ke deretan kedai-kedai kayu
berukiran flora dan fauna alam. Di situ tempat segelintir rakyat Amania
berniaga makanan dan minuman.
“Kita beli makanan.”
Ucap Kanna. Fixora tersenyum mengangguk. Dia ingin juga merasa makanan orang
kota. Kanna membawa Fixora ke sebuah kedai yang sudah bersedia menerima
pelanggan kerana sebahagian kedai lain masih sibuk mengemas meja-meja dan
kerusi. Hari pun masih awal lagi.
“Ixo mahu makan apa?”
tanya Kanna.
“Terpulang ibu. Ibu
tentukanlah.” Balasnya. Kanna dan Fixora mengambil tempat duduk yang sesuai.
Seorang lelaki berusia 50-an datang menghampiri mereka berdua. Fixora tersenyum
mesra.
“Sejahtera kamu berdua.
Ingin memesan apa?” sapa peniaga itu. Kanna memandang Fixora sekilas.
“Beri saja nasi goreng
Kota dua dan dua jus kurma.” Pesan Kanna. Peniaga itu mengangguk-angguk
kemudian pergi.
“Kurma dibuat jus ya
ibu? Aneh.” Fixora kehairanan. Banyak sekali yang baharu dikenalinya apabila
tiba di kota. Sementara menunggu pesanan mereka berdua berbual-bual.
“Jangankan kurma,
strawberi, oren, plum, kiwi bahkan susu lembu juga dipelbagaikan.” Kanna
memberitahu dengan lebih lanjut. Fixora mengangguk.
“Kenapa ibu tidak
benarkan Ixo ke sini sebelum ini?” soalnya.
“Lambat-laun Ixo akan
tahu kenapa. Tapi sekarang, ibu akan bawa Ixo bersiar-siar ke sini ya.” Fixora
akur dengan kata-kata Kanna. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Ibu, tahukah ibu
sebuah menara yang berkilau indah? Saat Ixo panjat pokok, Ixo akan lihat menara
itu ibu. Dekat dengan sebuah gunung hijau ke biru-biruan itu ibu.”
Kanna berfikir sejenak.
Gunung Naf. Menara yang dimaksudkan mungkinnya tembok Abadiyat. Tembok milik
ayah Fixora. Di sana jugalah letaknya pedang Livios kepunyaan Zenos.
“Itu bukan menara
tetapi tembok.” Kanna membetulkan. Makanan serta minuman yang dipesan sudah
sampai. Fixora melupakan perbualannya dengan Kanna lalu menjamah nasi goreng
Kota yang dimaksudkan. Lazat. Jus kurma dihirupnya. Fixora mengamati rasanya
dengan teliti.
“Ibu, sedap sungguh
ibu. Beruntung ibu dapat merasa makanan dan minuman kota ini. Hebat-hebat
belaka rasanya.” Luah Fixora,
“Baru kali ini juga ibu
singgah menjamu selera di kedai ini. Selama ini ibu tidak pernah ke sini. Tiada
yang menemani.” Ujar Kanna. Dia kemudiannya menyuapkan sesuap demi sesuap nasi
ke mulut. Sudah semakin ramai
orang-orang kota Amania yang berpelesiran di jalan-jalan kota. Ada yang
memakai kostum seolah-olah hendak berperang, ada juga membawa permainan
congkak, dan ada yang bertangan kosong saja. Mereka majoritinya jalan berteman
seperti Fixora dan Kanna. Bahagianya punya teman, bisik hati Fixora.
“Nanti kita akan ke
gelanggang Kuala Pasir. Di sana ada pertandingan kuda. Lepas tu kita akan ke
gelanggang pertarungan pedang. Hari ini ada acara berlawan pedang, lumba kuda,
Ratu Jelita, memanah, dan banyak lagi. Hari merdeka banyak acara.” Kata Kanna.
Fixora mengangguk.
“Tapi Ixo, kita jadi
penonton saja ya. Tak perlu libatkan diri. “ Sambung Kanna. Fixora dan Kanna
menghabiskan sarapan. Kanna membayar harga makanan dan minuman. Sewaktu mereka
jalan, peniaga kedai makan itu menyoroti pandangan ke arah mereka berdua.
Kemudian, peniaga itu kembali mengira wangnya.
Mereka melewati
taman-taman bunga yang dibina di sekitar kota. Sungguh indah. Sekali-sekala
Fixora menyentuh bunga jejarum yang menumbuh di sana. Ada rama-rama merah hitam yang berterbangan.
Fixora menyentuh rama-rama itu. Kanna yang melihat perlakuan itu menegur.
“Ixo ingat. Jangan
memperlihatkan kelebihan Ixo kepada orang kota. Mereka akan mengambil
kesempatan ke atas kelebihan Ixo nanti.” Fixora terkedu. Dibatalkan hasratnya
untuk menyentuh rama-rama tersebut. Mereka melewati perumahan-perumahan simen
yang megah. Bendera Amania terpacak di bahagian bumbung rumah.
“Ini rumah siapa ibu?”
tanya Fixora.
“Pembesar istana.
Kebanyakkan rumah besar-besar ini milik orang-orang berpangkat di istana.”
Jelas Kanna. Fixora diam seketika. Kemudian matanya melilau ke sekeliling kota.
Dia terlihat akan sebuah bangunan besi di sebalik rumah-rumah di sebelah kiri.
Tetapi kurang jelas kerana dilindungi perumahan pembesar Istana.
“Ibu, yang rumah
daripada besi itu apa?” tanya Fixora lagi.
“Penjara. Tempat
orang-orang bersalah diseksa dan dikurung. “ Fixora terkejut mendengar
penjelasan ibu. Seram tengkuknya. Rupanya Amania juga menghukum sesiapa yang
melakukan kesalahan.
“Itu apa ibu.” Fixora
menunjuk sebuah bangunan putih bersih berukir gambar manusia pada tiangnya.
“Mahkamah. Tempat orang-orang tak bersalah membela diri dan tempat untuk
menjatuhkan kesalahan kepada si pelaku.” Jawab Kanna.
Fixora mengangguk.
Kanna membawa Fixora berehat di sebuah pondok.
“Kita tunggu di sini.
Setengah jam lagi baru acara bermula.” Beritahu Kanna. Tiba-tiba muncul pula beberapa
kelompok manusia berkuda putih. Mereka berpakaian kemas seperti golongan
kehormat. Mereka menuju ke gelanggang Kuala Pasir.
“Wah, hebat! Pasti
pembesar istana.” Ucap Fixora.
“Ya. Di hadapan sekali
ialah putera mahkota Salman. Anak kepada Raja Aziz. Di belakangnya Panglima
Seri Mazonta pengganti Panglima Setia Rejawan yang sudah bersara. Yang lain itu tentera Amania.
“Petutlah kelihatan
perkasa.” Ucap Fixora.
“Kalau tidak perkasa
tak usah menjadi wira.” Gurau Kanna. Kanna membawa Fixora ke gelanggang Kuala
Pasir. Fixora melihat ada gerai berniaga air minuman dan makanan bergoreng.
Pasti mereka mencari rezeki di sebalik timbunan manusia di situ. Kanna membawa
Fixora mencari tempat duduk kosong. Kanna memilih tempat duduk di bahagian
atas. Tempat duduk penonton disusun bertingkat-tingkat.
Sesudah melabuhkan
punggung. Kanna dan Fixora menanti acara bermula. Orang ramai mula
menjerit-jerit nama peserta lumba kuda. Mungkin yang menjerit-jerit nama peserta
lumba kuda adalah ahli keluarga atau saudara mara. Macam-macam nama yang boleh
di dengar.
Attar! David! Bao Ceng!
Fixora menjadi
pemerhati gelagat penonton. Kedengaran ada pengumuman di sebuah astaka. Fixora
kurang jelas mendengarnya lantaran orang ramai terlalu bising. Kuda-kuda
bersama pesertanya sudah berbaris di tempat bertanding sebab itulah orang ramai
semakin memekik. Semboyan dibunyikan. Kuda-kuda tersebut berlari. Semakin laju
ia berlari semakin kuat pula jerit pekik manusia. Fixora lemas dalam jeritan
manusia. Namun, dalam pertandingan berlumba kuda ada kuda yang tersungkur
sehingga penunggangnya terbuang ke tepi sedikit. Sembilan ekor kuda yang lain
masih meneruskan pertandingan. Pertandingan lumba kuda akan diteruskan
berperingkat peringkat. Habis pertandingan kesepuluh-sepuluh peserta lumba kuda
set pertama barulah peserta lumba kuda set kedua, ketiga dan seterusnya.
Dikhabar terdapat 150 perserta yang menyertai lumba kuda ini.
Set pertama selesai.
Pemenangnya ialah Attar. Itulah nama yang paling jelas Fixora dengar melalui
pekik lolong manusia di sini. Kanna melihat Fixora gundah-gulana. Mungkin
Fixora rimas dengan bunyi bising manusia. Kanna membawanya ke lokasi
pertandingan yang lain. Fixora mengucapkan syukur di hati. Akhirnya dia bebas
dari jerit pekik manusia.
Kanna membawa Fixora ke
lokasi pertandingan gusti lengan dan congkak. Lokasinya tidak jauh dari
gelanggang Kuala Pasir. Pertandingan di jalankan di Dewan Serbaguna Amania.
Ramai wanita dan kanak-kanak yang mengambil alih permainan congkak. Manakala
para lelaki di sebelah gusti lengan. Ada juga wanita yang menyertai gusti
lengan. Wanita lawan wanita manakala lelaki berlawan dengan lelaki.
“Gusti lengan ini sukan
ringan tetapi menggunakan kekuatan di bahagian lengan. Acara ini disukai ramai
tidak kira orang muda atau tua.” Kanna tanpa ditanya menjelaskan kepada Fixora.
“Congkak?” tanya
Fixora,
“Congkak guna strategi.
Lihat itu lubang-lubang congkak ada tujuh kecil dan dua yang besar. Yang lubang
kecil dikenali sebagai kampung. Manakala yang besar dikenali sebagai rumah.
Setiap kampung diisi buah. Terdapat dua orang pemain, bermaksud seorang
mendapat satu rumah. Dan tugas si pemain mengambil buah dari kampungnya dan
meletakkan ke setiap kampung dan rumahnya satu buah, jika habis buah di tangan
maka pemain itu mati. Melainkan jika buahnya terakhir diletakkan di rumahnya
maka dia boleh menyambungkan lagi permainan dengan memilih buah di bahagian
kampungnya. Jika mati, giliran pihak lawan. Jika pihak lawan mati, gilirannya
semula sehinggalah buah sudah habis di kampung.” Jelas Kanna.
Fixora
mengangguk-angguk. Bibirnya sedikit muncung.
“Mari kita lihat
pertandingan gusti lengan yang sedang bermula itu.” Ajak Kanna. Fixora melihat
dua orang penggusti yang sedang beradu kekuatan dan tenaga. Mereka mengetap
gigi sambil cuba mengalahkan pihak lawan. Fixora mengandaikan bahawa yang
bertubuh sasa akan menang. Tekaan Fixora tepat sekali. Kemudian, Fixora melihat
lagi peserta lain. Seorang berbadan kurus, seorang lagi gemuk. Fixora
mengandaikan peserta gemuk akan menang tetapi yang kurus pula menang. Fixora
hairan. Kecil-kecil cili padi. Peserta wanita juga tidak kurang hebatnya.
Fixora terhibur melihat acara itu. Seolah-olah dia juga ingin menjerit
menyokong para peserta. Tetapi dia mengawal perasaan. Perasaan gembira
terpancar pada wajah sahaja.'
Kanna pula menyaksikan
pertandingan congkak. Dia lebih suka melihat strategi yang diatur oleh pemain.
Walaupun permainan itu tidaklah mencabar seperti catur tetapi Kanna tetap
gemarkan congkak. Sudah lama juga Kanna tidak bermain congkak tetapi dia masih
ingat cara bermain. Ia sangat senang.
Fixora menghampiri
ibunya. Tetapi dia berpaling dan memilih peserta yang baru memulakan permainan
supaya dia dapat melihat dari mula. Cara bermain mereka seperti yang Kanna
ceritakan. Sangat mudah untuk bermain permainan itu. Fixora tersenyum melihat
peserta bermain. Ada juga dalam kalangan penonton yang mencuri pandang ke arah
Fixora. Apabila Fixora membalas pandangan mereka, mereka melarikan pandangan ke
tempat lain. Fixora terus melayan pertandingan congkak yang sedang berlangsung
itu. Cekap sungguh si pemain berambut lurus ini. Wajahnya tenang sahaja.
“Ayuh Delisa! Menang!
Menang!” suara rakan Delisa. Delisa itulah gadis berambut lurus dan berwajah
tenang dimaksudkan. Tentunya yang menyokong ini rakannya. Fixora terus menilik
bahawa Delisa akan menang kerana buahnya lebih banyak dari lawannya. Sorakan
rakan-rakan Delisa meletus apabila Delisa menang.
Kanna membawa Fixora ke
Pusat Kebudayaan. Di sana akan berlangsungnya pertandingan Ratu Jelita dan
pertandingan nyanyian. Fixora semakin tidak sabar menyaksikan acara seterusnya.
Perjalanan dari Dewan Serbaguna Amania ke Pusat Kebudayaan mengambil masa 17
minit. Kehadiran mereka dialu-alukan. Mereka berdua mengambil tempat duduk di
bahagian tepi barisan tengah. Suasana di sini agak tenang kerana pertandingan
Ratu Jelita dijalankan dengan formal. Fixora duduk bersebelahan dengan seorang
wanita sebaya ibunya. Wanita itu menyapa Fixora.
“Adik tidak sertai
pertandingan ini?” tanya Arkia. Fixora membalas pertanyaan wanita itu dengan
sopan seperti yang diajarkan ibunya.
“Tidak Mak Mulia. Saya
ini jadi penonton saja.”
“Adik sesuai ikut
pertandingan ini. Adik sangat cantik.” Arkia memuji. Fixora tersipu-sipu malu.
“Benarkah Mak Mulia?
Tak adalah Mak Mulia. Saya biasa-biasa saja. Mak Mulia juga masih cantik di
pandangan mata saya. Harusnya Mak Mulia yang menjadi Ratu Jelita” Balas Fixora.
“Ish, saya ini sudah
tua bukan macam adik.” Arkia ketawa. Fixora juga turut ketawa. Mereka kemudian
memberikan tumpuan kepada peserta Ratu Jelita yang sedang memperagakan
pakaiannya. Peserta itu memakai gaun hitam bersarung tangan putih. Rambutnya di
dandan lalu diletakkan hiasan tiga bulu burung berwarna putih dan satu bulu
burung berwarna hitam. Cantik sungguh peserta itu.
Fixora dan Kanna begitu
leka menyaksikan pertandingan ini. Namun, mereka tidak lama berada di situ.
Kanna membawa Fixora ke acara pertandingan berlawan pedang sebaik melihat ada
beberapa orang tentera Amania berdiri di setiap penjuru lokasi pertandingan
Ratu Jelita. Fixora hanya menuruti ibunya tanpa mengerti akan tindakan Kanna.
Ketika mereka ingin meninggalkan Pusat Kebudayaan, Fixora berselisih dengan
seorang lelaki yang amat dikenalinya. Lelaki itu terpandang Fixora lalu
bergegas ke satu arah yang bertentang dengan Fixora dan Kanna. Fixora
kehairanan.
Kanna membawa Fixora ke
gelanggang pertarungan pedang. Fixora melihat ramai dalam kalangan
jejaka-jejaka perkasa bersama pedang masing-masing. Orang ramai juga
berpusu-pusu mengitari kawasan luar gelanggang pedang. Gelanggang pedang
letaknya seolah-olah di dalam sebuah sangkar besi yang besar. Fixora meneliti
besi-besi yang membentuk seakan-akan sangkar sehingga ke bahagian silingnya.
Acara dimulakan dengan pertarungan dua orang peserta pedang. Seorang peserta
bertubuh tinggi lampai dan sangat sasa. Seorang lagi bertubuh tegap berkulit
gelap. Muka mereka bengis. Nampaknya mereka bersungguh-sungguh untuk berlawan.
Fixora berjalan-jalan
mencari satu sudut yang membolehkan dia jelas melihat pertarungan itu. Orang
ramai yang berpusu-pusu di sekitar luar gelanggang menghalang Fixora untuk
melihat dengan jelas. Fixora mengeluh. Fixora terlanggar tubuh seorang lelaki
yang sudah siap memakai baju besi. Dean. Fixora tersenyum. Dean memandang
antara tidak percaya terhadap gadis yang pernah ditemuinya dulu. Rupanya Fixora
keluar dari Pusat Kebudayaan untuk ke gelanggang pertarungan pedang.
“Kau tidak boleh
mengelak lagi sekarang.” Kata Fixora kepada Dean.
“Tuan puteri buat apa
di sini? Tuan puteri pun hendak berlawan pedang?” tanya Dean seolah-olah
memperli. Fixora melihat Dean dari atas sampai bawah. Lelaki ini kelihatan bakal
menyertai perlawanan pedang.
“Bila kau bertarung?”
tanya Fixora tanpa mempedulikan soalan Dean sebentar tadi.
“Sekejap lagi tuan
puteri.” Jawabnya.
“Aku bukan tuan puteri
bunian. Aku manusia biasa seperti kau.”
“Tahu.” Balas Dean
ringkas. Fixora ketawa.
“Tahu? Baguslah.”
Fixora menyambung melihat pertarungan di antara dua orang peserta pedang itu.
Nampaknya, peserta bertubuh tegap dan berkulit gelap tercedera di bahagian
lengan kirinya.
“Tuan puteri bukan
orang biasakan?” soal Dean. Fixora terkedu.
“Ah? Kan aku sudah
kata, aku manusia biasa macam kau.” Jelas Fixora. Barangkali Dean masih
teringat peristiwa semalam.
“Patik tak percaya.”
Balas Dean. Walau sudah dijelaskan berkali-kali bahawa Fixora bukan seorang
puteri bunian, Dean masih lagi menganggap dia seperti puteri bunian.
“Jadi kau ada beritahu
sesiapa tentang aku?” tanya Fixora.
“Belum tuan puteri.
Patik tiada kesempatan.”
“Kalau kau beritahu,
siap kau.” Fixora berpura-pura menggertak Dean. Dean hanya melihat Fixora.
“Aku mahu kau menang
dalam pertarungan ini, jangan lupa.” Ugut Fixora kemudian dia pergi menghampiri
ibunya. Kanna terasa dahaga, dia pergi meminum air suci gunung Naf di mangkuk
ajaib. Mangkuk ajaib itu terdapat di gelanggang pertarungan pedang juga. Fixora
menuruti perlakuan ibunya kerana dia juga sudah dahaga. Mereka berteduh di
sebuah pokok. Selama setengah jam mereka menyaksikan pertarungan pedang.
Perlawanan seterusnya
melibatkan Dean dan seorang yang bertubuh lebih kurang sasa seperti Dean.
Fixora ternanti-nanti detik ini. Pertarungan ini amat sengit. Fixora terdengar
cerita dari segelintir penonton yang berada di situ bahawa lawan Dean ini
merupakan seorang juara pedang tiga tahun berturut-turut. Dean tidak berjaya
memenangi pertarungan itu. Dia tewas di tangan lelaki handalan pedang yang
dikatakan hebat oleh orang Amania.
Tiba-tiba tentera
berkuda datang bersama Putera Mahkota Salman. Putera Mahkota Salman mengerahkan
tenteranya memeriksa setiap orang rakyat Amania yang dicurigai. Baginda membawa
sekali batu kristal Amania. Kanna gugup.
“Ibu, cantikkan batu
kristal itu.” Ucap Fixora gembira. Dia tidak tahu apa-apa fasal batu kristal
itu. Kanna menarik pergelangan tangan Fixora.
“Kita kena beredar.”
Tukasnya.
“Kenapa ibu?” tanya
Fixora. Kanna selalu membuatkan Fixora tertanya-tanya akan maksud perbuatannya.
Mereka cuba untuk beredar dari kepungan tentera Amania. Orang-orang Amania
kelihatan selamba sahaja tetapi mereka berdua amat risau dengan keadaan itu
lebih-lebih lagi Kanna. Kanna membawa Fixora menyelinap disebalik
manusia-manusia yang bertabur di situ. Ada seorang tentera mendapati mereka
cuba lari.
“Nanti dulu. Rakyat
tidak dibenarkan keluar dari sini ketika kawalan pemeriksaan dijalankan.” Tegas
tentera itu memberitahu. Kanna terdiam. Kelihatan mulut Kanna terkumat-kamit
membaca sesuatu lalu ditiupnya ke arah tentera itu.
“Ixo, lari.” Kanna
membawa Fixora melarikan diri. Tentera itu kepeningan lalu terlupa apa yang
berlaku sebentar tadi. Kanna mementerai tentera yang menghalang mereka sebentar
tadi agar terlupa apa yang dilakukannya.
Kanna terus membawa
Fixora pulang. Mereka meredah hutan belantara. Fixora terpinga-pinga. Apakah
yang ditakutkan oleh Kanna sebenarnya?
“Ibu, ada sesuatu yang
ibu tidak beritahu Ixokah ibu? Kenapa kita terpaksa lari macam ini. Apa salah
kita ibu?” soal Fixora.
“Ixo, kita bukan orang
Amania sebenarnya. Orang luar Amania. Hidup kita bahaya jika tersentuh batu
kristal Amania. Kita akan kedapatan.” Kanna membohongi anaknya. Dia tidak mahu
Fixora tahu perihal yang sebenarnya. Tentu Fixora akan bersedih hati jika dia
mengetahui perkara yang sebenarnya. Lebih baik Fixora tidak tahu. Kalau dia
tahu, Kanna risau jika identiti diri anaknya terbongkar oleh anaknya sendiri
biarlah dia memegang rahsia maha besar. Fixora masih merenung ibunya. Tiada
ayat yang mampu dilafazkan. Dia percaya kata ibunya. Tetapi mengapa ibunya
tidak memberitahunya awal-awal. Masakan mahu berahsia dengan anak sendiri.
“Ixo, jangan beritahu
sesiapa nak tentang ini.” Pinta Kanna. Fixora tidak berkata. Dia juga merasakan
bahawa ada sesuatu yang tidak benar di sebalik ini semua tetapi dia tidak mahu
bertanya dengan lebih lanjut kerana Kanna tetap tidak akan memberitahu dirinya.
Fixora berlalu ke kamar tidur.
Kanna mengintai Fixora
yang termenung di birai katil. Gadis itu tidak akan faham apa-apa selagi dia
tidak menjelaskan perkara sebenar. Bukan masanya Kanna mendedahkan siapa Fixora
yang sebenarnya. ‘Suatu hari kau akan tahu anakku,’bisik hatinya. Kanna menuju
ke kamarnya.
FIXORA membuang pandangannya ke arus sungai
Nyaman yang deras mengalir. Sudah dua hari dia berkurung di rumah. Kanna tidak
mengizinkan dia keluar merayau-rayau kerana risau akan kawalan tentera Amania.
Ada air mata yang keluar dari tubir mata. Dia tidak mengerti mengapa hatinya
dihuni kesedihan. Hidupnya ditakdirkan di dalam hutan belantara ini tanpa
teman. Bagaimana nanti jika Kanna sudah tidak ada lagi di dunia ini, apalah
nasib Fixora. Mengubat orang pun dia tidak tahu bahkan tidak mengerti bagaimana
meramal sakit yang dihidapi oleh pesakit. Dia tidak seperti Kanna yang
mempunyai ilmu mantera. Ah, mungkin dia akan hidup bersama binatang-binatang di
belantara ini. Fixora tersenyum semula. Diambil batu kecil lalu dilastikkan ke
sungai. Perbuatan itu diulang-ulangkan. Bahagia dia melihat air sungai
terpercik dek dihumban batu.
Fixora terlihat seekor
burung pipit yang hinggap di bahagian ranting pokok tua di seberang sungai.
Fixora memanggil burung pipit dengan siulannya, menyuruhnya hinggap di atas
bahu. Burung pipit itu seakan-akan mengerti lalu hinggap di atas bahunya.
Fixora gembira. Dia bersyukur kerana dengan kelebihan ini, hatinya sedikit
terubat. Fixora membelaikan bulu burung pipit itu.
“Bagaimana kalau burung
helang yang hinggap di pokok seberang, apakah akan di suruh hinggap ke bahu?”
sapa satu suara lelaki. Burung pipit itu terus terbang. Fixora melihat Dean
yang sudah tercegat di belakangnya namun jaraknya masih jauh.
“Helang pun, helanglah.
Aku tidak kisah.” Jawabnya.
“Sedari tadi patik
melihat tuan puteri melayan jiwa berseorang di sana. Apa tuan puteri juga
mempunyai keresahan?” tanya Dean sambil tersenyum. Fixora tertawa kerana berasa
lucu dengan kata-kata Dean tetapi Fixora tidak menjawab pertanyaan itu.
“Sedari tadi juga aku
lihat kau tercegat di sana, duduklah di sebelah aku. Ikan itu tidak akan
apa-apakan kau.” Fixora menepuk-nepuk batu besar di sebelahnya sebagai isyarat
supaya Dean duduk di situ. Dean kelihatan masih berfikir sebelum melangkah ke
sana. Fixora kembali melihat sungai.
“Tuan puteri suka benar
ke sini.” Ucap Dean.
“Sejak bila kau
menghendap aku?” Tanya Fixora. Tangannya menyikat rambut ikal miliknya.
“Baru sekali. Kalau
masuk hari ini sudah dua kali. Patik biasa ke mari semenjak kecil tetapi tidak
pernah melihat tuan puteri. Sekali patik bertemu tuan puteri di kota, patik
merasakan yang tuan puteri tersesat di kota.” Dean ketawa kecil. Fixora melihat
Dean dengan perasaan senang.
“Aku bukan puteri
bunian. Aku manusia biasa seperti kau juga.” Jelasnya lagi. Dean masih lagi
tersenyum.
“Tuan puteri banyak
kelebihan. Jelita bak puteri kayangan, disayangi haiwan. Tidak kira haiwan buas
atau jinak.”
Fixora diam. Sepatutnya
Dean tidak patut tahu akan hal itu. Kanna pasti akan memarahinya. “Aku bukan
puteri bunian,” luahnya.
“Jikalau begitu, patik
ingin menjadi kawan kepada tuan puteri.” Mendengarkan kata-kata itu, Fixora
memandang Dean agak lama. Kawan?
Bab 3
Di balairung, Raja Aziz duduk di singgahsana. Di sebelahnya, agak bawah
sedikit dari singgahsananya ialah putera mahkota Salman dan permaisuri Ratna
yang sedang duduk berlainan kerusi. Para pembesar istana semuanya berkumpul
menghadap Raja Aziz. Penasihat Diraja Al-fadhil Berahim Kaseh memulakan bicara.
“Ampun teramat ampun
tuanku. Patik mohon memulakan bicara.” Sembahnya. Raja Aziz mengangguk.
“Adapun hari
kemerdekaan telah berlangsung, acara-acara pertandingan berakhirlah sudah.
Kesateria sudah menjelma demi pertahanan negara. Patik hadapkan tuanku ketiga-tiga
kesateria terpilih. Mohon tuanku perkenankan hasrat.” Penasihat Diraja
Al-Fadhil Berahim Kaseh menundukkan kepala dan tapak tangannya diangkat separas
kepala lalu disuakan kepada baginda Raja Aziz.
“Beta perkenankan.”
Titah Raja Aziz. Seketika tiga orang lelaki yang gagah perkasa masuk ke
balairung kemudian melutut dan menyembah Raja Aziz.
“Kesateria pertama
adalah handalan pedang. Sudah acap kali menjadi juara. Keperkasaannya mendapat
undi para pembesar negara. Kesateria kedua, penunggang kuda yang cekap juga
boleh bermain senjata. Mengintip musuh padan dengan tugasnya. Kesateria ketiga
pemanah tanpa bunyi. Juga boleh dikatakan pembunuh dalam senyap. Panahannya
selalu tepat dan sukar dikesan oleh musuh. Ampun tuanku, kesateria-kesateria
ini akan menjadikan benteng pertahanan kita lebih kukuh.”
Raja Aziz memandang
satu persatu wajah kesateria negara. Baginda berpuas hati dengan kasateria
tersebut. Penasihat Diraja Al-Fadhil Berahim Kaseh mempersilakan Panglima Setia
Mazonta datang menghadap baginda Raja Aziz dengan membawa tiga hadiah bagi
upacara penganugerahan pangkat kesateria negara kepada ketiga-tiga kesateria
terpilih.
Raja Aziz berdiri
diikuti oleh Putera mahkota Salman dan Permaisuri Ratna. Ketiga-tiga kesateria
juga berdiri. Dimulakan dengan kesateria handalan pedang untuk menerima
anugerah pedang Nilam Sakti. Kesateria kedua menerima ladam kuda sakti bersalut
emas. Kesateria ketiga menerima busur pemanah dan anak panah sakti Tujuh Alam.
Mereka bertiga tunduk hormat kepada paduka Raja Aziz.
Penasihat Diraja
Al-Fadhil Berahim Kaseh mohon berundur bagi memberi ruang kepada Panglima Setia
Mazonta. Raja Aziz sudah kembali ke tempat duduk di singgahsananya.
“Ampun tuanku teramat
ampun. Patik Panglima Setia Mazonta mohon bicara,” sembah Panglima Setia
Mazonta. Raja Aziz mengangguk.
“Negara Amania sudah 21
tahun merdeka. Tetapi, patik masih khuatirkan keselamatan negara. Sungguhpun negara
Amania menjadi negara yang paling agung di seantero dunia tetapi negara ini
juga menjadi tumpuan utama oleh mata-mata kejahatan yang tidak diketahui
asal-usulnya.” Ujar Panglima Setioa Mazonta.
“Apakah yang cuba
dinyatakan panglima? Apakah sudah terlihat tanda-tanda bahawa negara kita akan
jatuh? Atau..kuasa kegelapan akan bangkit semula?” Raja Aziz bertanya. Putera
Mahkota Salman pula berdiri dan memohon ampun.
“Ampun ayahanda,
anakanda mencelah.” Sembah Putera Mahkota Salman. Raja Aziz memberi izin.
“Tempoh hari ketika
anakanda dan tentera memeriksa para rakyat yang membanjiri gelanggang
pertarungan pedang, ada seorang wanita telah menyihir salah seorang tentera
ketika cuba menahannya daripada beredar. Anakanda telah memecahkan sihir itu
dengan kesaktian yang anakanda miliki. Namun, malangnya sihir wanita itu
terlalu kuat sehingga tentera anakanda yang disihir tidak mampu mengingati
wajahnya. Firasat anakanda mengatakan bahawa wanita itu punya kuasa luar biasa.”
Beritahu Putera Mahkota. Raja Aziz gundah-gulana.
“Ampun tuanku. Patik
rasa ini adalah petanda negara kita akan runtuh.” Panglima Setia Mazonta
mencelah. Raja Aziz berdiri dari kerusinya.
“Beta tidak rasa
seperti itu. Firasat beta mengatakan bahawa kekuasaan Zenos tidak akan muncul.
Kerajaan luar negara juga tidak mampu menewaskan kita kerana negara kita punyai
kuasa yang negara luar tidak ada. Anakanda Putera Salman, tahukah anakanda akan
asal-usul wanita itu?” Raja Aziz bertanya. Putera Mahkota Salman menjawab.
“Ayahanda, dukacita
anakanda nyatakan, anakanda juga tidak tahu di mana asal-usul wanita itu. Sudah
anakanda kerahkan tentera bagi memeriksa seluruh kampung dan kota untuk mencari
wanita itu tetapi hampa.”
Raja Aziz mendiamkan
diri sebentar.
“Tuanku, menurut tuan
putera mahkota Salman, wanita itu mempunyai kuasa sakti sihir yang luar biasa. Patik
rasa wanita itu boleh menghidupkan kuasa gelap Zenos.” Celah Panglima Setia
Mazonta. Tiba-tiba penasihat Al-Fadhil Berahim Kaseh memintas.
“Ampun tuanku teramat
ampun.” Sembah penasihat.
“Silakan,” titah Raja
Aziz.
“Patik tidak bersetuju
dengan kenyataan panglima. Di negara ini, kita maklum bahawa terdapat
segelintir rakyat Amania yang mahir bermain mantera dan sihir. Masakan panglima
Setia Mazonta boleh mengatakan bahawa kuasa gelap akan muncul hanya kerana
sihirnya terlalu utuh. Jika wanita itu dikatakan hendak menjatuhkan negara,
mengapa tidak bertindak dari dahulu lagi.” Kata Penasihat Al-Fadhil Berahim
Kaseh, Raja Aziz mengangguk-angguk. Panglima Setia Mazonta memandang penasihat
dengan perasaan tidak puas hati.
“Yang Mulia Penasihat
seakan-akan tidak percaya. Saya khuatirkan negara kita. Saya panglima, saya
menjaga pertahanan ini.” Luah Panglima Setia Mazonta kepada Penasihat Al-Fadhil
Berahim Kaseh.
“Panglima, beta tahu
panglima begitu prihatin terhadap pertahanan negara kita. Walau bagaimanapun kita
kena mengambil langkah berjaga-jaga. Firasat beta tetap utuh mengatakan bahawa
Zenos tidak akan muncul, Zenos sudah mati. Anakanda putera Salman, beta
tugaskan anakanda dengan dibantu oleh Panglima Setia Mazonta menyiasat gerangan
wanita yang mencurigakan itu. Siasat dia dan bawa menghadap beta.” Titah Raja
Aziz. Raja Aziz berpegang teguh kepada firasat dan nalurinya. Baginda
dikurniakan naluri yang tajam dan boleh mengesan bahaya.
“Ampun ayahanda. Titah
ayahanda, anakanda junjung.” Sembah Putera Mahkota Salman seraya duduk di
kerusinya semula.
“Pembesar berdua juga
boleh ambil tempat masing-masing. Beta hendak tangguhkan persidangan kita.”
Titah Raja Aziz.
Sebaik persidangan
ditangguhkan, Panglima Setia Mazonta terus meluru ke arah kudanya. Hatinya di amuk
marah. Sakit sungguh hatinya terhadap paduka Raja Aziz begitu juga Penasihat Al-Fadhil
Berahim Kaseh. Cakapnya tidak peduli. Firasat
Raja Aziz selalu menundukkan para rakyat. Bagaimana jika firasatnya salah!
KANNA ditarik Kiha sehingga masuk ke dalam
rumahnya. Kiha menyuruh Kanna duduk di kerusi sementara rumahnya dikunci. Kiha mengintai
di luar jendela. Kelihatan kuda-kuda beberapa orang tentera sedang melalui
kawasan perumahannya. Nafas Kiha turun naik, turun naik.
“Kenapa ini Kiha?”
tanya Kanna resah. Dahinya dikerutkan. Kiha duduk di sebelah Kanna. Lalu dia
menghadap muka Kanna dan memandang tepat ke biji mata Kanna. Ada peluh yang
merenik di dahi Kiha. Kanna menelan air liur untuk mendengar kata-kata Kiha.
“Aku rasa kau diburu
oleh tentera itu. Perbuatan kau menyihir salah seorang tentera di raja
terbongkar. Aku tahu cuma kau saja yang memiliki mantera yang sangat sakti.”
Jelas Kiha selalu kakak sepupu Kanna. Kanna terpempan.
“Benarkah?” tanya Kanna
kepada Kiha.
“Kanna, aku banyak
menimba cerita orang semalam. Anak-anak kawan aku yang anaknya bekerja sebagai
tentera telah menceritakan kepada mereka. Dari semalam mereka menjalankan
operasi memeriksa para bomoh dan sesiapa sahaja yang mengetahui mantera. Aku rasa baik kau
menjauhkan diri. Kau menyoroklah di rumah kau.” Nasihat Kiha. Kanna diam.
“Jaga diri kau dan anak
angkat kau Kanna.” Sambung Kiha lagi.
“Kiha, mereka tidak
akan mengesyaki aku. Aku tahu berhelah.” Kata Kanna. Kiha semakin resah.
“Kanna, kau fikir Raja
Aziz itu siapa? Dia raja yang bernaluri tajam. Helah kau tetap akan dihidunya.”
Bantah Kiha.
“Siapakah yang
memecahkan manteraku?” tanya Kanna ingin tahu.
“Kau ini terlalu
kerdil. Putera Mahkota Salmanlah, siapa lagi. Anaknya Raja Aziz itu juga
mempunyai kuasa sakti. Dia boleh memecahkan mantera.” Ujar Kiha. Sempat lagi
dia memperli Kanna. Kanna seolah-olah berfikir.
“Kanna, kau betul-betul
cari fasal. Mengapa kau tak biarkan saja tentera itu menjalankan tugasnya
terhadap kau dua orang beranak. Apa yang ditakutkan? Mesti ada yang kau tidak
beritahu aku kan?” Kiha pula mencurigai Kanna.
“Aku kan tidak tinggal
di kota. Aku hidup di luar kota, di luar kampung. Bagaimana nanti sekiranya
Raja Aziz murka? Nah, siapa tahu aku dipancung!” Ucap Kanna. Kiha mengetuk
dahinya.
“Kenapa kau bodoh
sungguh. Buat apa kau dipancung hanya kerana kau tinggal di hutan? Kau ini lain
kali tinggal di kampung ini, bersama-sama aku supaya kau beroleh ilmu
pengetahuan.” Keluh Kiha. Kanna sudah lali dengan mulut Kiha yang suka memaki
tetapi kakak sepupunya itu seorang yang baik hati.
“Kiha aku kena balik
rumah. Aku risaukan Ixo. Aku jalan dulu.” Kanna meminta izin daripada kakak
sepupunya. Kiha masih menggeleng-gelengkan kepala. Kanna melilaukan mata demi
melihat kalau-kalau ada tentera di sekitar itu. Apabila mendapati tiada tiada
langsung kelibat tentera maka Kanna pun berlalu pergi. Kiha pula kesal dengan
sikap Kanna yang meletakkan akal di kepala lututnya. Perkara kecil sudah
menjadi besar bagi Kiha.
DEAN masih bersama dengan Fixora di atas
sebuah batu di tebing sungai. Dia sungguh selesa bergaul dengan Fixora. Gadis itu
rupanya baik hati. Perwatakannya yang lincah dan baik hati membuatkan Dean ingin
menjadi kawan kepada gadis itu.
“Kau tinggal di mana?”
soal Dean lagi. Fixora tersenyum sambil menunjukkan sungai itu. “Di situ,”
ucapnya. Dean tergelak.
“Oh, puteri bunianlah
tu ataukah puteri duyung?” duga Dean
.
“Aku tidak boleh
berutahu kau. Cukuplah di sungai ini. Aku mandi di sini, minum di sini, makan
saja tidak di sini.” Balas Fixora.
“Fixora, jadi gila aku
bercakap dengan kau.” Seloroh si Dean. Fixora ketawa kemudian merenung mata
Dean. Dean terpaku melihat renungan itu seolah-olah Fixora ingin menelannya.
“Kau telah menjadi
kawanku dan berjanjilah kau tentang satu hal. Mahukah kau?” kata Fixora. Kali ini
Fixora menjadi lebih serius. Dean membuang pandangannya sambil menjawab
pertanyaan Fixora.
“Janji apakah itu?”
“Janji yang kau tidak
beritahu orang siapa aku, asal-usulku dan kelebihanku.” Fixora melihat Dean
untuk meminta kepastian.
“Baiklah tuan puteri.”
Dean menyetujuinya sambil disusuli dengan gelak tawanya. Fixora lega. Dia
senang mempercayai Dean.
“Kau mahu menjadi
kesateria?” usul Fixora. Dean tidak berkata apa-apa. Air mukanya berubah.
“Jawablah,” pinta
Fixora. Dean mengeluh.
“Aku ingin. Tapi
siapalah aku.” Suara Dean lemah, Fixora menolak bahu Dean.
“Kau ini lemah
semangat. Kau bukannya tidak kuat. Kau hebat cuma perlu diasah. Usahalah menjadi
yang terbaik.” Nasihat Fixora. Dean mendiamkan diri.
“Kenapa kau mahu jadi
kesateria?” tanya Fixora.
“Aku ingin membalas
dendam. Ayah dan ibuku mati di bunuh oleh Zenos yang durjana itu. Sewaktu itu
aku masih bayi lagi. Aku tahu kisah ini pun dari bapa saudaraku.” Luah Dean.
Fixora berasa kasihan dengan Dean.
“Bukankah sudah tidak
ada lagi Zenos dan kuasa gelapnya? Buat apa kau balas dendam lagi” tanya
Fixora. Dean menggeleng-gelengkan kepala.
“Membalas dendam itu
azamku.” Tegas Dean.
“Kalau aku Zenos, kau
akan bunuh aku?” duga Fixora. Tiba-tiba sahaja Fixora mengeluarkan soalan itu.
Dean berasa tidak senang.
“Apa kau cakap ini
wahai Fixora. Kenapa soalan itu yang kau tanya?” suara Dean dengan tegas.
Fixora terkedu. “Aku ingin duga azammu sahaja,” balasnya.
“Kalau kau Zenos, aku
akan bunuh kau tetapi kau bukan Zenos. Kau hanyalah puteri bunian jelita yang
aku temui,” kata Dean. Fixora tersentap mendengar ayat itu. Bulu romanya
berdiri. Ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Dean mengesan perubahan
pada wajah Fixora.
“Kenapa dengan kau?”
tanya Dean sambil memegang lengan Fixora. Fixora menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Aku teruja mendengar azammu Dean,” ujar Fixora
sambil buat-buat ketawa. Fixora memandang Dean. “Kau pasti jadi kesateria,”
sebutnya lagi.
“Kau kena berusaha. Kau kena menang. Bila kau
menang, jangan lupa aku. Em, apa kau benar dengan azammu walaupun Zenos sudah
tiada?” tanya Fixora.
“Ya,” jawabnya ringkas. Fixora terasa
tubuhnya menggeletar.
“Kau pasti Zenos akan hidup semula dan
kembali memusnahkan Amania?” tanya Fixora.
“Aku mahu dia bangkit supaya aku dapat
membalas dendam.” Mendengarkan ayat yang keluar dari mulut Dean. Fixora
menggelupur kesakitan. Dean panik melihat keadaan itu. Dia mengangkat tubuh
Fixora. Fixora kemudiannya pengsan.
“Fixora. Fixora. Kenapa dengan kau? Tuan
puteri.” Dean menggerak-gerakkan tubuh Fixora yang tengah pengsan. Dean tidak
mengerti sama sekali mengapa Fixora terus rebah. Sepanjang perbualan mereka,
Fixora kelihatan sihat dan segar. Dean benar-benar panik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan