Bismillah.
Mengimbau sejarah lama kehidupan sewaktu aku masih kecil-kecil dahulu. Aku sendiri sudah lupa pada usia berapa kisah ini yang penting ia berlaku sekitar umurku 6 - 7 tahun. Mengapa aku menganggar begitu? Kerana kisah ini bermula di Tambunan, atas dari umur 7 tahun, aku sudah berpindah ke Keningau.
Aku berjalan-jalan bersama emak dan ayahku di sebuah Market. Tabiatku sewaktu kecil ialah meraba-raba setiap barangan yang aku lihat. Begitulah kalau tiada kerja, maklumlah kita jadi tukang ikut-ikutan belakang emak dan ayah saja.
Akhirnya, aku terpegang makanan dalam tin. Makanan yang tidak halal. Aku sendiri pun tidak tahu ia tidak halal. Main pegang sahaja.
Sekembalinya aku di rumah, emak menyuruh aku mengambil tanah. Pada ketika itu rumah aku, rumah flat. Jadi, aku pun mencedok tanah ke dalam bekas tupperware dan membawanya naik ke atas, ke rumahku. Emak menyuruh aku mencuci tanganku menggunakan tanah. Basuhan pertama menggunakan tanah, kemudian disusuli dengan enam basuhan air mutlak. Selepas emakku memberitahu, dia berlalu masuk ke biliknya. Aku ditinggalkan di singki dapur bersama tupperware berisi tanah. Terkebil-kebil mata aku melihat paip dan tanah itu. Aku sebenarnya tidak faham kenapa emak menyuruh membasuh tanah! Bagaimana caranya membasuh tanah? Aku kecil lagi manalah aku faham.
Aku pun mengepallah tanah itu, dan membasuhnya. Tanah itu mencair dan mulai hilang dari tanganku. Tambahan pula, air itu deras!
"Hisy, macam mana mahu cuci kalau tanah asyik cair dan jatuh ke lubang singki!" Aku marah sendiri.
Aku terus mengulangi perbuatanku. Aku basuhlah tanah itu hinggalah tanah itu berbaki sebesar biji kacang di tapak tanganku. Aku letak di tepi.
Aku mengambil lagi sekepal tanah, basuh, hilang. Hilang tanah itu dari tapak tanganku sebab sudah hanyut di bawa arus air paip yang deras. Aku tidak berani memanggil emak dan memberitahunya bahawa aku tidak "dapat" mencuci tanah, kelak emak akan marah. Emak selalunya akan marah bila anaknya tidak berusaha.
![]() |
| Gambar hiasan |
Akhirnya, emak pun datang.
"Sudah samak tangan?" soalnya. Samak? Lagilah aku tak tahu. Aku diam sahaja.
"Sudah basuh tangan guna tanah dan bilas 6 kali?" sambung emak lagi.
Aku menggeleng. "Mak, dari tadi Along cuci tanah tapi tak dapat cuci. Tanah cair terus jadi air," jawabku. Emak menggeleng-geleng kepalanya.
"Bukan begitu Along," ujarnya. Lalu emak memegang kedua-dua belah tanganku dan mengajar aku perbuatan samak dengan betul. Setelah selesai, aku tersengih-sengih.
"Oh, rupanya begitu!" Kataku bernada riang.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan