Utama

Jumaat, 26 April 2013

Mari Menulis!





Semasa saya masih kecil lagi, ayah selalu belikan saya buku-buku cerita dongeng seperti Puteri Duyung, Puteri Salji, Cinderella, dan beberapa lagi kisah dongeng. Cerita Melayu pun ayah belikan seperti kisah Sang Kancil dan Buaya. Tidak ketinggalan cerita nabi dan rasul. Saya seronok sangat membaca buku cerita yang ayah belikan sehingga saya suka berimaginasi untuk menjadi seorang puteri raja.

Antara Kisah Dongeng Barat

        Suatu hari, saya terlalu rindu untuk membaca buku cerita. Saya sudah bosan membaca buku-buku cerita yang sama. Saya mahukan kelainan. Kalau saya suruh ayah saya belikan pasti esok lusa atau minggu hadapan baru dia belikan. Saya pun berfikir untuk mereka cerita sendiri. Cerita budak-budak. Di situlah saya mula menulis. Cerita saya pendek-pendek. Kalau emak baca pasti tersenyum. Selain menulis, saya suka berpantun:

         “ Rasa sayang eh rasa sayang, sayang eh. Eh lihat nona jauh, rasa sayang, sayang eh.
Pisang Emas di bawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi di bawa mati.

Rasa sayang eh rasa sayang, sayang eh. Eh lihat nona jauh, rasa sayang, sayang Eh.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan di kandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.”

     Pantun itu ayah saya yang ajarkan. Saya sangat suka pantun. Saya suka keindahan bahasa. Sehinggalah saya bersekolah menengah, saya menghasilkan cerpen tetapi di asrama sahaja dan pembacanya ialah rakan-rakan saya. Walaupun saya suka menulis cerita pendek tetapi saya bukanlah seorang yang pandai menulis. Bakat masih belum terasah lagi yang ada ialah minat! Saya kena berusaha. Saya memperbanyakkan bacaan buku-buku novel dan majalah. Sedikit sebanyak buku yang saya baca meresap ke dalam jiwa. Saya meneliti bagaimana para penulis menyusun bahasanya. Saya cuba meniru gaya bahasa yang ditampilkan oleh penulis cerpen dari sudut diksi, sintaksis dan tempo.

         Itu serba-sedikit kisah lalu saya. Semenjak saya melanjutkan pengajian untuk mengambil diploma Pengajian Islam dan Dakwah, saya jarang-jarang menulis. Namun, keinginan untuk menulis-nulis kembali datang sewaktu saya mengikuti bengkel pemantapan karya anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sabah Oktober 2012. Bengkel ini bertempat di IPG Kampus Keningau. Di bengkel itu, saya berpeluang menemui penulis Sabah iaitu Jasni Matlani, penulis antarabangsa S.M Zakir serta seorang lagi penulis bergelar A.R Ramli. Mereka memberikan motivasi dan tunjuk-ajar untuk mengarang cerpen dan novel.

       Baiklah sekarang saya hendak berkongsi tips untuk mengarang serba-sedikit. Mengarang dikaitkan dengan unsur intrinsik dan juga ekstrinsik. Apakah itu? Dari sudut intrinsik (dalaman) sesebuah karya itu perlu ada tema, latar, watak, sudut pandangan, plot, gaya, dan suasana cerita. Manakala dari sudut ekstrinsik (luaran), seseorang penulis itu perlu ada ilmu. Ilmu bantu. Misalnya anda hendak membuat satu kisah mengenai senapang, anda kena pergi ke kedai senapang untuk mengkaji jenis senapang atau cukup melalui internet sahaja. Tetapi anda kena ingat, menghasilkan karya tidak sama dengan membentang di bilik kuliah di mana kita berpura-pura menganggap audiens tidak tahu apa-apa. Seorang penulis tidak boleh memperbodohkan pembaca. Penulis memerlukan keterampilan juga. Keterampilan yang bagaimana? Jika penulis ingin menghasilkan sebuah cerita mengenai penyakit seperti penyakit barah atau wabak, segala istilah-istilah berkaitan ditulis. Barulah nampak ada usaha mengetahui sesuatu. Selain itu, seorang penulis mesti banyak bermain dengan psikologi untuk mempengaruhi pembaca. Contohnya, anda hendak membuat satu cerita tentang zaman kanak-kanak dan semestinya anda mengetahui psikologi untuk kanak-kanak. Untuk menjadi seorang penulis, kena rajin membaca!

        Perenggan di atas itu adalah serba sedikit tips mengarang. Walau bagaimanapun, sasterawan negara yang pertama iaitu Keris Mas pernah menyatakan bahawa kita tidak boleh mengajar orang menjadi sasterawan. Memang benar. Kita tidak boleh mengajar seseorang untuk menjadi pengarang. Tetapi seseorang itu boleh belajar dan berusaha untuk lahir sebagai pengarang. Ini saya dapat daripada buku Persediaan Menulis Cerpen tulisan Othman Puteh. Buku ini sangat bagus dan sesuai dijadikan panduan bagi insan-insan yang mahu mengarang cerpen mahupun novel. Saya akan kongsikan serba-sedikit mengenai syarat-syarat menjadi pengarang melalui buku tulisan Othman Puteh ini.


           Pertama, bakat. Bakat merupakan kebolehan semula jadi seseorang itu. Bakat atau bakat alam ini merupakan anugerah Allah yang sukar dilihat atau disaksikan dengan mata kasar. Ia perlu dibuktikan oleh seseorang itu, dengan melakukan sesuatu usaha dengan penuh gigih, yang tidak mengenal istilah jemu dan yang diamalkan secara berterusan.

Kedua, minat. Minat ialah keinginan atau kecenderungan seseorang dalam sesuatu bidang yang diceburi. Ramai di kalangan remaja yang berminat untuk menjadi pengarang, berusaha secara berterusan menulis sajak atau cerpen atau drama dan menghadiri pelbagai bengkel penulisan akan tetapi hasil karyanya, tidak juga dipilih atau disiarkan di mana-mana penerbitan – surat khabar ataupun majalah – mengapa? Jawapannya: Sesungguhnya calon pengarang itu mempunyai minat akan tetapi ternyata pula dia tidak mempunyai bakat. Justeru itu, dia tidak lahir sebagai pengarang. Jadi, jelas kepada kita betapa pentingnya gabungan bakat dan minat untuk membentuk dan melahirkan seorang pengarang.

Ketiga, cita-cita. Sebagai suatu hasrat, ataupun suatu harapan – tentunya untuk masa hadapan – cita-cita akan dapat mendorong mempercepat seseorang itu menjadi pengarang. Tanpa cita-cita, bakat dan minat tidak dapat bercambah dan berkembang dengan wajar.

Keempat, rajin membaca. Rajin membaca bererti setiap calon pengarang itu harus membaca segala bidang ilmu pengetahuan. Dengan kata lain, untuk menjadi sasterawan terkenal, bukan sahaja perlu membaca buku-buku kesusasteraan malah harus juga membaca pelbagai jenis buku dalam bidang politik, ekonomi, sejarah, geografi, sains, perubatan, psikologi, dan seumpamanya. Kerajinan membaca harus dimiliki setiap calon pengarang yang sudah terkenal. Setiap bahan bacaan itu dianggap sebagai ilmu bantu apabila seseorang pengarang itu hendak menulis sesebuah genre sastera sama ada sajak, cerpen, novel, mahupun drama. Tegasnya, ia menjadi penting dalam menghasilkan karya.

Kelima, rajin menulis, Ya, seseorang yang mahu menjadi pengarang mesti rajin menulis. Dia mesti menulis secara berterusan, setiap hari. Malah calon pengarang itu mesti mempunyai rancangan menulis yang sistematik dan tidak mencari alasan untuk menyatakan kesibukan atau ketidakcukupan waktu untuk berkarya. Di sinilah, kita harus belajar daripada pengalaman pengarang-pengarang lain untuk dapat dijadikan teladan dalam usaha melahirkan pengarang.

 Untuk mencapai matlamatnya dengan berkesan, yang memungkinkan lahirnya pengarang, maka kesemua syarat tersebut memerlukan latihan yang bersungguh-sungguh, disiplin kerja yang terancang, dan minat yang tidak mengenal jemu dan berterusan. Sesungguhnya minat dan cita-cita itu dapat dianggap sebagai bibit cinta. Ia akan terus mengalir dalam diri kita. Justeru kerana itu, ia haruslah dipupuk dan dibenarkan bercambah berdasarkan pada keyakinan atau kepercayaan diri. Apatah lagi, kerja mengarang itu bukanlah suatu kerja atau tugas sembarangan, tugas sambil lewa atau tugas sampingan. Sebaliknya, kita harus mempunyai keyakinan diri betapa dengan mengarang kita sebenarnya melakukan sesuatu yang kita minati, sesuatu yang kita cita-citakan, sesuatu yang kita cintai. Oleh itu, kita percaya ada sesuatu yang baik, yang murni yang bakal kita lakukan dan peroleh daripadanya.

          Begitulah serba-sedikit syarat-syarat untuk menjadi seorang pengarang atau penulis seperti yang ditulis dalam buku tulisan penerima S.E.A Write Awards 1998, Othman Puteh. Semoga bermanfaat untuk kita semua yang berhasrat atau bercita-cita untuk menjadi seorang penulis. Mulalah dari sekarang menulis. Kalau ada bakat dan ada minat, silakanlah menulis. Menulis banyak manfaatnya. Kita tidak akan rugi. Di samping menulis, kita juga sebenarnya sedang mengkaji. Banyaklah ilmu yang kita dapat. Kita boleh jadi peguam, doktor, cikgu, jurutera, pelancong dengan menulis. Percaya atau tidak, mari menulis!
           


Selasa, 23 April 2013

Perhentian Bas Tenom




        Di perhentian bas Tenom, aku menanti seorang rakan. Kami berjanji melaksanakan misi pada hari ini. Namun, yang ditunggu masih tidak muncul. Ruang menungguku dipenuhi peristiwa. Aku gadis berkereta, yang biasa kunanti ialah si ayah atau si ibu datang menjemput dan tidak pernah hari-hariku digadai di perhentian bas berseorang tanpa teman. Aku menanti teman karib dari Tenom.

         Beginikah rupanya hidup si manusia perhentian bas, memanas punggung di kerusi duduk sambil melihat kereta datang dan pergi, melihat manusia pelbagai usia berkeliaran, melihat telatah pemandu bas dan penumpang, melihat orang-orang asing berpelesiran dengan jajaannya, ada juga bertangan kosong cuma sepuntung rokok di celah-celah jari telunjuk dan jari hantu. Aku melihat dua orang lelaki begitu asyik bercerita di sebelah kanan. Aku tidak pasti di mana hala tuju mereka. Mungkinkah ke Tenom. Aku seorang pemerhati bukan seorang wartawan. Ada lagi kulihat manusia mundar-mandir di sekitar kawasan kota. Ada yang menunggang motosikal berjaket hijau. Ada yang duduk menjaga sayur dan ikannya. Ada sebuah bas dari kampung Bunang ke Pekan Keningau tiba di perhentian tanpa penumpang. Di manakah teman karibku?

         Hujan turun renyai-renyai, aku masih di sini. Masih berfikiran sama. Kulihat lagi pemandu bas seorang ini yang rela dibasahi hujan demi rezeki hidupnya. Dia menghidupkan enjin bas. Enjin bas itulah muzikku. Seorang wanita bertudung datang bercerita dengan seorang teman. Dia melihat aku tetapi aku tidak ambil peduli lirikan matanya. Aku juga tidak mempedulikan teriakan hujan dan seluarku sudah basah. Namun apakah yang diinginkan si teman karibku sehingga aku jadi pemerhati unggul di perhentian bas Tenom.

        Ada lagi rupanya seorang penanti lelaki yang sibuk membaca majalah. Entah apakah judul majalah itu. Aku kurang jelas melihatnya. Pakaiannya biasa sahaja. Tidak berjenama dan sedikit lusuh. Aku kagum. Menambah ilmu tidak kira tempat dan tidak kira siapa si pembaca itu sama ada berpendidikan tinggi atau rendah. Marilah menjadikan membaca sebagai budaya.

        Air hujan sudah mula bertakung di perhentian bas. Air takungan bercampur bekas tapak kaki manusia, bekas tayar kenderaan, dedaunan yang jatuh daripada pohon semuanya sudah bercampur barangkali terselit ludah dan kahak. Kulihat longkang besar juga ditakungi air mutlak bersama tumbuh-tumbuhan yang suka-suka menumbuh di sana. Ia tidak seperti manusia yang kena berhati-hati dengan tanah hak milik orang lain sedang tumbuhan meletakkan hak tumbuh di mana-mana tempat kurniaan tuhan. Semua tempat milik Allah.

       Teman yang masih belum muncul membuatkan aku terharu melihat seorang lelaki 50-an yang turun ke longkang demi nyawa seekor anak kucing berwarna hitam. Dia membawa anak kucing itu ke perteduhan. Sesudah menunjukkan ihsan, dia menyeberang jalan dan terus hilang di sebalik deretan kedai. Alangkah eloknya jika aku seihsan lelaki itu tetapi aku tahu aku lebih khuatir stokingku basah dengan air longkang. Peristiwa tadi aku teladani.

      Kudongakkan sedikit wajah untuk melihat tingkat dua kedai di hadapan. Ada lelaki yang ulang-alik mengangkut dulang berisi makanan. Dari kedai ‘Honeysweet’ ke premis sebelah kanan. Teman, engkau melewatkan masa sehingga aku mempunyai ruang marah di dalam hati melihat si lelaki berbaju hijau membuang plastik hitam ke dalam longkang. Tong sampah di pondok tidak dia manfaatkan. Bahkan selepas menghabiskan nasi goreng dalam tapau polistirena, lelaki itu pantas menghumban tapau polistirena ke dalam longkang sekali lagi. Manusia kurang tamadun. Aku mengalih pandangan.

         Sekumpulan budak-budak remaja awal membuat bunyi bising. Mereka melimpasiku dan menyeberang jalan raya menuju ke kedai hadapan. Dahulu, aku tiada pengalaman seperti mereka. Aku tidak begitu senang dilepaskan keluarga untuk bersosial dengan rakan. Aku akur dengan tindakan orang tuaku yang penuh hikmah demi kebajikanku. Tiada apa yang perlu kukesali.

     Apakah perlu di setiap stanza aku menyatakan dirimu teman? Engkau melengahkan masa untuk menambah pengalamanku. Engkau memberiku rasa seperti mana yang engkau selalu rasa di perhentian bas ini. Aku melewati setiap detik di perhentian dengan kesabaran dan keseronokan menyaksikan ragam manusia di kota ini. Engkau sengaja memberiku inspirasi ketika menantimu. Betapa aku sedar kehidupan ini ada antagonis dan protagonis. Terima kasih teman karib dari Tenom, aku bahagia di perhentian bas Tenommu walaupun engkau tidak juga kunjung tiba.



Gurindam Fuadku




Kuusir pergi bayang-bayang silam, 
yang sentiasa meniti di tubir hari, 
setiap dasawarsa yang telah lalu,
 dibiar mekar pada memori.

Aku bukan Fatimah dan kau bukan Ali, 
kau juga tidak setanding Yusuf dan aku bukan Zulaikha
Atas nama kehidupan,
denai itu disusuri dengan langkah perkasa yang membait nama Mu.

Engkau puitis, aku kritis!

Wahai Khaliq,
Kuserah semula anugerah,
lemah dan lalaiku dalam menjaganya 
sehingga kubertatih meraih sedikit suratanMu, 
seindah hasratku.

Gurindam dalam Fuadku.

"Pergilah kasih membawa angin rindu yang jauh dari lubuk hati."


- NFIA -

Sajak: Kebutaan













Yang kukejar, tak ku dapat,
Yang kukecap, tak kunikmat,
Akulah hamba kufur,
Menolak dengan penuh takbur!

Sementelah langit biru kelam,
Kumelihat suasana hitam,
Ada bintang tapi aku sudah buta memandang.

Bisikan
Hidup yang suram,
Masih bersisa cahaya dipandang,
Hanya hati hati yang segar akan sedar,
Hakikat kehidupan bukan dibiar-biar tanpa arah bahagia,
Sayugia,
Aku masih koma,
Untuk bangkit dengan irama,
Yang selalu berkuasa,
Menguasai minda.

NFIA 13/6/12

Isnin, 22 April 2013

SITI GEMURUH DAPAT TROFI


Harum bau ayam goreng bersama sayur kekacang tumis sudah cukup membuat seorang gadis bernama Siti tidak sabar untuk makan. Dia duduk bersama beberapa orang rakannya di meja makan. Hatinya gembira. Siti selalu gembira apabila tiba waktu makan. Bila makan, semua masalah dilupakan dan yang ada dalam fikiran ialah keenakan dan kelazatan sesuatu makanan itu. Siti juga tidak lupa untuk membaca doa makan. Di atas meja, bersebelahan dengan pinggan ialah segelas air bandung dan telefon bimbitnya.

     Sesuap demi sesuap nasi dikunyah dengan begitu berselera. Selain makan, Siti juga menikmati suasana sejuk pendingin hawa dewan makan. Di tempat siti belajar, semuanya lengkap dan baginya agak mewah. Oleh itu, tidak ada alasan untuk gagal memperoleh keputusan yang baik bagi diplomanya.

     “Tit! Tit!” Bunyi khidmat pesanan ringkas telefonnya berbunyi. Tangan kiri Siti mencapai telefon bimbitnya. Mesej daripada Amira. Siti berhenti seketika daripada terus menyuap makanan. Dia mahu membaca mesej itu.

                          Salam. Awak terpilih mengikuti pertandingan debat di UiTM.

     Siti terkejut. Hilang terus selera makan. Hatinya berdebar-debar selepas membaca pesanan ringkas daripada Amira. Siti tidak pernah menyertai debat. Tidak tahu bagaimana hendak berdebat. Tidak tahu bagaimana hendak berkata dengan lantang. Siti benar-benar tidak tahu selok-belok fasal debat ini. Apa lagi jika debat itu berlangsung di UiTM, ia kelihatan hebat! Siti gemuruh. Siti hanya tahu berangan-angan untuk berdebat selama ini, ada juga terdetik di hati untuk mengikuti pertandingan-pertandingan berbentuk debat atau pidato tetapi semua itu terlestari dalam angan-angan dan imaginasi. Bukan berbentuk kenyataan.

     Siti mengkhayal di dewan makan. Dia sudah mula menitip angan-angan. Ada dua angan-angan, pertama dia berjaya memegang kejayaan sebagai pendebat untuk dia bawa pulang ke institusinya dan menjadi kebanggaan keluarga. Keduanya, dia menjadi orang yang menghinakan diri di hadapan khalayak, berhujah tanpa isi-isi bernas dan melucukan. Tetapi angan-angan Siti tidak berpanjangan kerana Aminah sahabatnya telah mengejutkan dia daripada khayalan. Siti tidak berkata tetapi menghulurkan telefon bimbitnya kepada Aminah, Siti mahu Aminah membaca mesej itu. Aminah keriangan pula selepas membaca mesej daripada Amira. Banyak sekali nasihat yang Aminah berikan supaya Siti dapat beraksi dengan hebat di sidang perdebatan nanti. Siti gemuruh lagi.

     Ketika di rumah, Siti duduk terperuk di dalam bilik. Siti sebenarnya seorang yang berdarah gemuruh. Mahu sahaja dia membalas mesej Amira supaya dia dapat menarik diri tetapi ada sesuatu aura di dalam diri mengasaknya untuk pergi. Siti seakan-akan mahu menangis. Siti mahu penglibatan kokurikulum, Siti mahu realisasikan angan-angan, Siti mahu kenyataan tetapi Siti takut dan pengecut untuk tampil ke hadapan.
         
     ‘Bagaimana aku mahu ikut, aku pengecut, darah gemuruh, kurang membaca, tapi aku mahu.’ Siti bermonolog sendiri di biliknya. Siti hanya melayan diri di bilik sementara tiga orang ahli biliknya sedang berbual-bual bersama ahli rumah yang lain di ruang tamu. Tidak ada sesiapa yang tahu gejolak di hati Siti.

     Siti berbaring di atas tilam dan cuba untuk tidur. Seawal pukul 9 malam Siti sudah mahu tidur, biasanya Siti akan menyiapkan tugasannya yang tertangguh tetapi kerana jiwanya kacau, Siti cuba mengawalkan masa tidur.

     Semakin cuba pejamkan mata, semakin pula memori lalu mencerah di ruang minda. Siti teringat kisah lama di sekolah menengah. Ia sebuah peristiwa di mana Siti bakal berpidato di dalam sebuah pertandingan Pidato sempena Bulan Bahasa Melayu. Bila sahaja tiba giliran Siti, tangannya sudah sejuk. Degupan jantungnya semakin kencang. Ketika melangkah, terasa kepala lutut melonggar. Air liur sukar ditelan. Siti gemuruh!

     Di hadapan semua audiens, Siti cuba mencari kekuatan. Teringat wajah ayah, terkenang wajah ibu. Pembukaan pidato Siti sangat cantik dengan pantun dan kiasan indah-indah belaka walaupun ada yang tersasul. Audiens memberikan tepukan gemuruh kepada Siti. Gementar Siti masih juga belum hilang. Satu malam Siti bersengkang mata untuk menghafal teks pidatonya. Siti mahu jadi juara seperti angan-angannya. Siti mahu jadi hebat seperti mana kata orang. Siti mahu jadi seperti A. Samad Said yang cerdik dan pintar. Siti tidak berupaya mencapai impian. Tiba-tiba Siti telah terlupa teks pidatonya dan dengan selamba melangkah ke kerusi tempat duduknya mula-mula tadi hanya untuk mengambil teks! Siti malu tetapi lagi malu kalau terus berlari pulang. Dalam kepahitan, Siti tetap juga menghabiskan sisa pidatonya tetapi dengan berpandukan teks di tangan. Kerana kegugupan yang tidak terkawal, usaha Siti menghafal teks pidato sudah menjadi sia-sia.

     Siti bangun daripada perbaringan. Tidurnya tidak menjadi kerana asyik dihuni memori lama yang memalukan dan hanya menambah gemuruhnya. Siti terkenangkan pertandingan yang semakin hampir. Tinggal dua hari saja lagi. Walaupun yang tinggal itu dua hari, Siti patut membuat persiapan. Siti perlu meluaskan bacaan kerana debat memerlukan fakta dan kebijaksanaan melontarkan hujah. Siti bakal bersaing dengan mereka yang mengambil Ijazah sedang Siti hanya diploma. Terngiang-ngiang pula kata-kata seorang rakan, ‘walau kita diploma dan bakal bertemu orang yang lebih tinggi statusnya, mentaliti kita kena tinggi, kita kena berpandangan luas.’ Siti mengiakan kebenarannya.

     Siti membuka surat khabar yang dibeli tetapi belum dibacanya lagi. Inilah Siti, sungguh pemalas membaca akhbar. Bukan sahaja akhbar, bahan-bahan bacaan seperti majalah, ensiklopedia, dan lain-lain bahan bacaan sangat malas ditelaahnya. Siti yang bakal berdebat adalah seorang yang kosong dengan pengetahuan tetapi penuh angan-angan. Siti semakin kebimbangan. Bimbang dengan penyakit pemalasnya dan bimbang menjadi orang yang kebodohan di sidang perdebatan tetapi naluri Siti kata, Siti kena ikut debat ini.

     Siti membuka internet. Dia menggunakan perkhidmatan Bluetooth telefon bimbitnya supaya dia dapat melayari internet. Siti mencari bahan-bahan bacaan berunsur kemerdekaan. Dia perlu memuatkan banyak ilmu di kepala sebelum menjejakkan kaki ke gelanggang pertandingan debat. Gemuruh di hati Siti tampaknya sudah bermukim dan tidak memperlihatkan tanda-tanda untuk pergi. Siti terus membaca, dia perlu pupuk keyakinan bukan angan-angan panjang tiada kesudahan. Apabila angan-angan sudah menjadi hobi, waktu minda sedang lapang, si angan-anganlah yang mengisi. Siti dan angan-angan sudah macam kawan
.
     Besoknya, Siti sudah berkemas. Selepas Siti kuliah, Siti dan rakan sepasukan debat akan bergerak ke UiTM. Siti akan bermalam di sana selama tiga hari dua malam. Siti gembira lebih-lebih lagi salah seorang pasukan debatnya ialah kawan rapatnya sendiri. Kawan rapat Siti selain Aminah bernama Sarah. Sarah mempunyai pengalaman berdebat tetapi Siti tidak. Siti gemuruh lagi.

     ‘Aku mesti ambil ini sebagai pengalaman.’ Bisik hatinya. Siti pernah berangan-angan untuk menjadi pendebat hebat tetapi Siti sudah menukar angan-angan kepada harapan hanya untuk menimba pengalaman. Debat yang diikuti kali ini, hanya untuk menimba pengalaman. Bukan meraih keuntungan dan puji-pujian manusia seperti angan-angannya selalu. Siti sedar dirinya tidak seberapa. Siti si pemalas, berdarah gemuruh, suka berangan-angan tidak mungkin boleh mengimpikan kemenangan berpihak kepadanya. Siti bukan putus semangat tetapi akur dengan keadaan diri yang kritikal terhadap ilmu. Lagipun, ia langkah kali pertama untuk mengasah bakat.

     Perjalanan menuju ke UITM agak lama dan mengambil masa beberapa jam. Siti manahan mabuk di dalam kereta. Mungkin tempoh perjalanan yang berbaur gemuruh membuatkan Siti pening dan hampir termuntah. Siti beritahu dirinya bahawa dia mesti kuat menongkah arus kehidupan jika mahu berjaya. Siti kena bijak mengawal perasaan.
            
     Keindahan UiTM di Kota Samarahan menjadikan Siti pulih dari mabuknya berjalan jauh. Sarah setia menenangkan dirinya. Siti sayang Sarah. Kehadiran Sarah sebagai ahli pasukan debat mengubat sedikit gemuruh di jiwa Siti. Siti berharap, Siti dapat melakukan yang termampu untuk dirinya. Siti juga berharap dengan keberadaan Sarah, Sarah akan terus memberikannya sokongan bukan sebagai ahli pasukan tetapi sahabat sejati.
     
     Siti dan rakan-rakan menurunkan barang dari kereta. Siti membawa satu bagasi beroda, beg komputer riba dan beg tangan bertali panjang. Siti melihat Nik iaitu seorang gadis yang mengurus perihal selok-belok penginapan dan membawa Siti serta rakan-rakan sepasukan debat ke bilik tempat berhimpunnya pasukan-pasukan debat yang lain. Ada sedikit penerangan yang bakal diberikan. Di situ, Siti mendapat format debat. Mata Siti terkebil-kebil. Pejam celik, pejam celik ketika melihat risalah yang mengandungi format debat. Siti membaca tugas Perdana Menteri, kemudian Timbalan Perdana Menteri dan terakhir ialah tugas Menteri Pertahanan seterusnya Siti membaca pula tugas ketua pembangkang, timbalan ketua pembangkang dan pembangkang pertama. Siti berharap Siti tidak mendapat posisi sebagai Menteri Pertahanan atau pembangkang pertama kerana Siti tidak pandai mencari isi-isi hujah pihak lawan untuk dibangkang. Jauh di sudut hati Siti, Siti pasti diberikan posisi ini kerana melalui pengalaman hidup Siti, sesuatu yang tidak dimahu akan didapat.
            
     Siti sudah menjangka akan posisi itu, dia terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai pembangkang pertama. Jantungnya berdegup kencang bagaikan hendak terkeluar dari tubuh. Alangkah gemuruhnya Siti! Siti takut sekali untuk bertanding. Siti mahu lari! Siti mahu berpura-pura sakit supaya dia dihantar pulang. Keinginan Siti itu sudah menghasilkan angan-angan. Angan-angan untuk sakit dan dihantar pulang, akhirnya ahli simpanan menggantikan tempatnya. Tetapi bagi Siti, itu semua tidak akan terjadi. Siti kena mengawal kegugupan. Siti mengingatkan diri bahawa objektifnya adalah untuk menimba pengalaman sekali gus merealisasikan angan-angannya suatu ketika dahulu. Siti perlu berusaha!
           
     Debat pusingan pertama, pasukan Siti telah terpilih menjadi pasukan pembangkang. Usul perdebatan adalah ‘Demi Kemakmuran Kita Perlu Bebas Berpolitik.’ Siti melihat pasukan kerajaan juga terdiri dari kalangan siswa yang masih baharu dalam arena perdebatan. Kegugupan siti terkawal ketika sibuk menyalin hujah-hujah penting pihak kerajaan. Bila tiba giliran Siti untuk melontarkan hujah, Siti gagal memberikan hujah dalam bentuk yang teratur. Kesilapan semantik sering dilakukan. Siti menahan perit di dada kerana dirasakan hanya memalukan diri. Siti berhujah hanya empat minit pada hal yang ditetapkan ialah tujuh minit.
            
     Siti meneruskan usaha berdebat sehingga telah melepasi empat pusingan perdebatan. Pasukan Siti berjaya melepasi semi-akhir. Siti teringat segala doanya yang telah termakbul. Dipohonnya kedudukan yang sedang-sedang sahaja, Allah beri keistimewaan lebih. Siti sebenarnya lebih banyak berdoa dalam solat. Berdoa agar sekadar dapat berdebat tetapi kemenangan itu biarlah di belakang. Siti yang tidak peka dengan perkembangan semasa dunia lebih-lebih lagi mengenai isu kemerdekaan dan seorang yang lebih banyak mencarut dalam memberikan hujah, seorang yang tergagap-gagap menyusun kata-kata kurang lantang, seperti kartun di gelanggang pertarungan idea boleh mendapat tempat kedua. Itulah jika ada keyakinan, ada usaha, ada Allah sebagai tempat menggantung harap, semuanya tidak akan mustahil untuk dikecap. Jangan kita putus asa, kita kena sambung-menyambung usaha. Siti seorang kartun jenaka di pentas perdebatan boleh juga menggenggam trofi sulungnya. Angan-angan yang menjadi kenyataan sekiranya ada usaha.
            
     Siti boleh pulang dengan bangga. Bangga kerana mendapat trofi. Trofi itu boleh menjadi inspirasi ketika Siti sedang belajar. Siti si gadis suka berangan-angan sudah ada trofinya. Suka hati Siti.
            
      Siti ingin segera pulang ke tempatnya. Siti mempunyai banyak sebab untuk pulang cepat. Siti sudah tidak mahu berlama-lama mengingat perihal diri yang daif tentang fakta kerana kurang membaca. Siti terasa lucu. Terkena batang hidungnya kerana malas menelaah buku. Dia nekad untuk balik dan terus mahu membaca buku-buku lapuknya di dalam almari. Siti mahu menjadi orang hebat. Siti telah menimba banyak pengalaman ketika pertandingan debat ini berlangsung. Penat dan sakit otak. Penat sebab jadi bodoh. Bodoh kerana memberikan hujah-hujah kurang matang. Yang manisnya, Siti dapat trofi.
            
     Kepulangan Siti, disambut baik oleh setengah-setengah rakannya. Ucapan tahniah dilafazkan kepada Siti, Sarah dan ahli pasukan yang lain. Siti hanya bersyukur. Siti dengan perasaan gembira terus menuju masuk ke rumahnya. Rindunya Siti terhadap bilik dan katil yang ditinggalkan. Siti teringin ke dewan makan untuk menikmati hidangan. Gembira Siti tidak lama apabila muncul seorang rakan yang dikenali sebagai Asmah menyapanya. Menyapa tuah Siti kerana menjadi naib juara. Tiba-tiba, Asmah menangis di hadapan Siti. Siti terkejut apabila Asmah tiba-tiba mengalirkan air mata. Asmah menceritakan kepada Siti segala yang terbuku di hatinya. Dia terlalu mahu menjadi seperti Siti tetapi tidak ada peluang untuknya. Di situ Siti melihat ada orang lain yang tidak tercapai hasrat dan impian. Bukan Allah tidak beri peluang kepadanya tetapi masanya bukan sekarang. Siti kehilangan kata-kata untuk memujuk rakannya itu kerana dia empati dengan nasib rakan. Siti percaya hikmah yang terbaik untuk rakannya.
            
     Pada hari Isnin, Majlis Ramah-Tamah akan berlangsung di Institut tempat Siti belajar. Siti dan pasukan debat bakal menerima hadiah di atas pentas. Kejayaan mendapatkan kedudukan sebagai naib juara akan diumumkan kepada semua warga institusi. Trofi Siti telah Siti berikan kepada pengacara majlis kerana trofi itu bakal dipertontonkan di hadapan khalayak ketika diberikan kepada Siti dan rakan-rakan sepasukan debat pada majlis itu nanti. Siti sebenarnya masih lagi kurang berpijak di bumi yang nyata. Siti seakan-akan masih dibelenggu angan-angan lalu. Dari angan-angan menjadi realiti. Siti kini sudah pernah ikut debat bahkan di UiTM. Langkah pertama yang memberikan hasil yang baik. Siti bangga.
            
     Namun, Siti juga harus ingat bahawa tidak semua orang mengecap impiannya. Siti mahu membataskan kegembiraan dengan menaruh empati kepada insan yang tidak senasib dia. Siti percaya kepada kelebihan yang Allah anugerahkan itu pastinya ada cuma berlainan rupa. Kita perlu berusaha bukan hanya bertawakal. Siti kemudiannya mengambil telefon bimbitnya. Dia mahu menghantar khidmat pesanan ringkas kepada ibu dan ayahnya. Dia mahu ibu dan ayah berasa bangga di atas kejayaannya yang hanya berjaya meraih tempat kedua. Ia satu permulaan dengan kedudukan yang baik.
            
     Hari yang ditunggu menjelang sudah. Siti berdebar-debar menantikan acara pemberian hadiah kepada para pendebat yang telah menjadi wakil Institutnya. Siti sudah merancang laluan mana yang dia bakal lalui untuk pergi ke pentas. Siti rindu memegang trofinya. Siti mahu mengambil banyak-banyak gambar bersama trofi kesayangannya. Siti sangat gembira.
            
     Siti berbangga dapat bergambar di atas pentas bersama-sama puan pengetua. Siti mahu berazam bahawa Siti akan menambah banyak ilmu agar suatu hari kelak Siti dapat menyertai semula pertandingan debat tetapi sebagai seorang yang sudah hebat berhujah dan luas pengetahuan. Siti menjadikan pengalaman sebagai inisiatif untuk berusaha gigih. Siti mesti berubah kepada yang lebih baik. Siti melihat semula trofi di tangannya. Siti tersenyum. Inilah angan-angan yang menjadi kenyataan. Siti seorang yang gemuruh, gugup, tidak ada pengalaman tetapi berhasrat untuk menyertai debat akhirnya sudah menempuhnya. Trofi di tangan Siti menjadi bukti angan-angan bertukar kenyataan.